Shafie tidak berhasrat jadi MB Kedah...

Datuk Seri Shafie Mohd Apdal berkata, pelantikannya sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kedah tidak mendapat bantahan mana-mana pihak di negeri tersebut.

"Malah saya tiada agenda untuk bertanding atau berhasrat menjadi Menteri Besar Kedah, cuma satu sahaja iaitu mengembalikan kuasa pemerintahan kepada BN," katanya.

shafie apdal pc 310308 shafieBeliau juga menganggap pelantikannya itu "hanyalah sebagai satu lagi tambahan untuk memperkuat dan mengukuhkan lagi Umno Kedah, dan bukan bermakna negeri ini tiada calon berkaliber untuk dilantik memegang jawatan itu".

Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, memberitahu pemberita demikian selepas jamuan makan malam bersama Umno bahagian Langkawi di Langkawi malam tadi, lapor Bernama

Beliau juga ditanya mengenai ketidakhadiran semua ketua bahagian di majli situ malam tadi, iaitu pertemuan pertama selepas pelantikannya menerajuk Umno Kedah.

Dalam jawapannya, Shafie berkata ia kerana majlis berkenaan diatur dalam masa singkat oleh Umno Langkawi.

Katanya, mesyuarat dengan semua ketua bahagian akan diadakan tidak lama lagi.

Strategi tawan Kedah

Mengenai barisan jawatankuasa baru Umno Kedah, Shafie berkata, beliau akan berbincang dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.

Beliau juga akan memanggil semua anggota komponen BN untuk bermesyuarat dan menyusun semula gerak kerja yang perlu dilaksanakan bagi menambat semula hati pengundi dewasa dan muda.

"Saya memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda ini kerana tidak berupaya melaksanakannya berseorangan.

"Kedah memiliki asas yang cukup kuat dan tiada masalah besar mengukuhkan semula kedudukannya agar mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

Shafie juga menggariskan dua faktor sekiranya parti itu mahu menawan semula Kedah daripada pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Katanya, ahli Umno perlu bersatu mengukuhkan perpaduan dan pemimpin hendaklah bekerja kuat untuk berkhidmat pada masyarakat dan mengutamakan rakyat.

"Rakyat akan melihat kepada dua faktor ini kerana ia adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan mereka yang akan menilai sebelum memilih Umno semula dan BN amnya.

"Saya percaya dan yakin jika ini menjadi pegangan Umno, tiada sebab mengapa ia tidak boleh mengambil alih semula tampuk pemerintahan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.