Pasangan diraja hadir majlis kahwin
KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan isteri, Cik Puan Temenggong, Manohara Odelia Pinot, semalam berangkat ke majlis perkahwinan anak lelaki Exco Kelantan, Datuk Husam Musa.
Pasangan terbabit sebelum ini sudah beberapa kali menghadiri majlis rasmi dan tidak rasmi sejak tersebarnya laporan media Indonesia yang mendakwa Cik Puan Temenggong yang juga bekas model terkenal republik itu, dilarikan dan didera suaminya.
Sebaliknya, pasangan itu yang tiba di kediaman Husam di Jalan Salor, di sini, pada jam 1.45 tengah hari dengan kenderaan rasmi istana, kelihatan ceria sambil bersalaman dengan tetamu.
Tengku Muhammad Fakhry yang berpakaian serba hitam, manakala isterinya berbaju kurung cerah corak bunga merah jambu dan tudung cerah berbunga, turut meluangkan masa berbual dengan pasangan pengantin, Ahmad Syafi Husam dan Indah Purnasari Didin Solahudin sebelum menikmati juadah di dalam rumah.
Pasangan terbabit berangkat meninggalkan majlis kira-kira 30 minit kemudian sambil sekali lagi kelihatan bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Sementara itu, Husam ketika ditemui selepas itu, berkata Tengku Muhammad Fakhry dan isteri berangkat ke majlis perkahwinan anak sulungnya itu sebagai memenuhi undangan.
Sebelum ini, ibu bekas model itu, Daisy Farajina seperti dilaporkan media republik berkenaan, Surya, mendakwa anaknya dilarikan secara paksa oleh kerabat Sultan Kelantan selepas mereka selesai mengerjakan umrah di Jeddah, Arab Saudi, bulan lalu.
Beliau turut mendakwa, Jabatan Imigresen menghalang keluarganya masuk ke Malaysia untuk berjumpa Manohara, baru-baru ini.
No comments
Post a Comment