1Malaysia, Justeru Apa?

1. Saya kira bukan kita tidak mahu meneliti ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemakan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Bukan, kita mahu menekuninya; akan tetapi ketika dunia berada di akhir zaman, kita lebih menumpukan perhatian pada hal-hal lain. Sepertinya wabak selesema babi yang semakin merebak di mana kes yang disahkan atau disyaki telah dilapor di 16 buah negara termasuk di Eropah dan Asia. Bahkan sudah ada satu kes disyaki di Thailand, dua lagi di Singapura. Sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan aras amaran dari tahap tiga kepada empat. Dalam dunia kekalutan begini, kita sedang memikirkan siapakah yang dapat menjadi juru selamat yakni penyelamat dari langit, berbanding ucapan mengupas slogan politik.

2. Pun dari kaca mata seniman, saya memerhati juga ucapan Perdana Menteri demi memberi keadilan buat beliau. Saya dapati beliau menekankan persoalan supaya 'kita mengakui kemajmukan yang wujud sebagai realiti yang harus di terima'. Kata Perdana Menteri lagi 'inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan'. Beliau juga menegaskan bahawa 'setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan dibantu'. Sehingga menurut beliau, 'tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan' dan tiada 'warganegara kelas dua di negara tercinta ini'. Sungguh indah.

3. Baiklah kita mendengar dan 'menerimanya'. Tetapi kita juga ingin mengingatkan beliau, Perdana Menteri, dalam bahasa PPSMI: 'Datuk Seri, you ain't Obama.' Ketahuilah Datuk Seri, minoriti di Malaysia ini bukan sahaja dalam bentuk warna kulit dan nama bangsa. Minoriti juga ada, wujud, dan realitis dalam bentuk lain seperti pengamal dan penganut mazhab agama nan berbeza. Terdapat sejumlah rakyat kita di sini dari 'leluhur Acheh-Minang, para sayyid dan syarifah, serta India Muslim dari Utara benua India' yang berlainan, yang wujud, yang real dan telah 'keciciran'; kerana dinafikan haknya dalam bentuk pengamalan beragama. Dapatkah 'real itu' misalnya diakui? Ada jaminankah?

4. Kata Datuk Seri jangan ada yang merasa berada seperti 'kelas kedua' di negara tercinta ini. Duhai, tidakkah Datuk Seri mendengar keluhan pejuang bahasa dan sastera bahawa bahasa Melayu dan sastera Melayu ibaratnya hidup segan mati tidak mahu? Nama-nama tempat di kota Kuala Lumpur telah diingeriskan, keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sedang dikuncup dan ditabrakkan, sastera Melayu belum dapat disebarluaskan, anak-anak kelas pertengahan semakin malu mengakui jati diri Melayu-Islam. Dan ini semua berlaku bukan kerana bahasa Melayu dan pejuang bahasa itu minoriti, malah mereka majoriti, tetapi mereka atau kita, serasa dikelaskeduakan kerana pihak atasanlah, pihak kerajaanlah yang tidak mahu mengakui kewujudan kami. Dasar dan polisi selama ini menghempas kami untuk berada di kelas terbawah. Perdana Menteri, rakyat boleh berubah, percayalah; tetapi kerajaan dahulu harus merubah. Kemudian, kita, paling kurang sayalah, berjanji akan membantu Datuk Seri dan menyertai perjuangan tersebut demi 'perpaduan'.

5. Saya juga tertarik apabila Datuk Seri mengatakan 'dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku’. Sungguh bagus sekali jika Rasulullah saw ingin dicontohi dan dijadikan pedoman. Bahkan Datuk Seri mengatakan 'bahawa kita perlu mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu'. Tentu, itu bukan sekadar ucapan. Tentu, itu satu keyakinan yang mendalam. Kepimpinan Rasulullah yang ingin dicontohi itu adalah kepimpinan yang hadir untuk menyelamatkan semua yang tertindas. Dapatkah kepimpinan seumpama itu dicontohi?

6. Seperti yang telah saya katakan dari mula lagi. Dalam dunia kekalutan begini, kita, sudah tidak kuasa dan tidak larat memikirkan slogan politik ini apakah real atau tidak. Kita lebih suka merenung siapa dapat menjadi juru selamat yakni penyelamat dari langit, yang pastinya telah ditunjukkan Rasulullah saw, kerana baginda memang mementingkan kebajikan umatnya sehinggalah ke akhir zaman.

Datuk Seri, entahlah. Kami tidak tahu. Kami sudah letih. Jika apa yang dibabarkan semalam semuanya benar, dengan lelah kita bertanya kembali; jadi apa, justeru apa?

http://tehranifaisal.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.