Tatalaku dan Disiplin


TataLaku dan Disiplin
Menurut Perspektif Islam


Muqaddimah


Islam diutuskan oleh Allah swt. sebagai petunjuk dan pedoman bagi manusia agar mereka mencapai sebuah kehidupan yang baik dan bahagia di dunia jua akhirat .


Malah suatu yang diketahui umum bahawa Islam tidak terhenti sebagai agama yang menghubungkan spiritual hamba dengan tuhannya semata mata malah Islam juga adalah satu cara hidup yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia .


Lantaran itu , Islam meletakkan sistem hubungan manusia dengan tuhannya , hubungan manusia dengan manusia yang lain dan pengurusan manusia terhadap dirinya sendiri .


TataLaku dan disiplin hidup seorang insan adalah tertakluk di bawah kurikulum pengurusan dan hubungan manusia dengan manusia yang lain malah pengurusan manusia terhadap dirinya sendiri .


Islam , Disiplin dan TataLaku .


Rasulullah saw. pernah bersabda :


إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَق


( Riwayat Imam malik fi Muwatta’ )


Maksudnya : Sesungguhnya aku diutuskan ( oleh Allah ) bagi menyempurnakan kemuliaan tataLaku .


Diriwayatkan dari At Tarmizi , dari Abi Darda’ rha. bahawa nabi saw. bersabda :


ما مِن شئٍ أَثْقَلَ في مِيْزَانِ اْلمُؤْمِنِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ مِن حُسْنِ اْلخُلْقِ وَ إنَّ اللهَ تعالى لَيَبْغَضُ اْلفَاحِشَ اْلبَذِيْء


Maksudnya : Tiadalah sesuatu yang paling memberati timbangan seorang mukmin pada hari qiamat kelak selain daripada kemuliaan tataLaku dan sesungguhnya Allah swt. teramat murka tataLaku yang keji ( menyeleweng ) lagi hina .


Disiplin adalah pengurusan tataLaku agar ianya tidak semata – mata terhenti diatas nilainya yang baik dan mulia tetapi kebaikan dan kemulian tataLaku itu ditadbir agar menepati ketetapan , arahan dan peraturan yang baik pula .


Asas Pembentukan TataLaku dalam Manhaj Deenul Islam.


Manhaj 1 : (10 asas pembentukan dari Surah Al Furqan . Ayat 63 – 76 )


63. Dan hamba-hamba Allah (tuhan yg bersifat Ar rahman), ialah mereka Yang berjalan di bumi dengan merendah diri, dan apabila orang-orang Yang berkelakuan kurang adab menghadapkan kata-kata kepada mereka, lalu mereka menjawab dengan perkataan Yang baik dan sejahtera .


64. Dan mereka adalah orang yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri


65. Dan juga mereka Yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, hindarkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah kebinasaan yang kekal .


66. Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat buruk ,


67. Dan juga mereka adalah orang Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut , dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.


68. Dan juga mereka adalah orang Yang tidak menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang diharamkan Allah , kecuali dengan jalan Yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina , dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan dosanya


69. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan


70. Kecuali orang Yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


71. Dan sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat


72. Dan mereka juga adalah orang Yang tidak memberikan kesaksian palsu , dan apabila mereka bertembung dengan orang yang melakukan perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah , mereka berlalu dengan menjaga kehormatan dirinya.


73. Dan juga mereka adalah orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidak mereka bersikap seperti orang yang pekak dan buta .


74. Dan juga mereka adalah orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, anugerahlah kepada kami pasangan hidup dan zuriat keturunan kami: sebagai penenang jiwa kami, dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.


75. Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan Selamat di dalamnya


76. Mereka kekal di dalam syurga itu , sedang ia adalah sebaik – baik tempat menetap dan tempat tinggal .


Manhaj 2 : ( 4 asas pembentukan dari Surah Al Asr . Ayat 1 – 3 )


1. Demi Masa ! 2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian 3. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.


4 Asas tersebut :


AL ImaanubiLLah ( Yakin kepada Allah )
Amal Soleh
Berpesan – pesan dengan prinsip kebenaran
Berpesan – pesan dengan kesabaran ( dalam menghadapi dugaan )


4 Asas tersebut membentuk kategori perlaksanaan .


Kategori 1 : ( AL Imaanubillah & AL A’malussooleh )


Adunan Iman dan Amal Soleh dalam kehidupan insan melahirkan Itqanul A’mal ( kerja yang tekun dan bersungguh – sungguh ) . Ini akan melahirkan peningkatan prestasi dan kualiti tugas serta tanggungjawab yang dilaksanakan .


Pengaruh Iman dan Amal Soleh yang menguasai peribadi insan akan menjadikan mereka komited dan pro aktif dengan segala amanah dan tanggungjawab yang digalaskan kepada mereka .


Kawalan Iman dan Amal Soleh yang membalut naluri dan sanubari insan , meletakkan mereka dalam satu benteng yang kukuh , menyelamatkan mereka dari serangan virus mazmumah dan fitnah material yang membinasakan mereka .


Kategori 2 : ( At Tawasau bil Haqqi & At Tawasau bissobri )


Kategori yang kedua ini berorientasi untuk mengislahkan ( memulihara ) individu dan masyarakat seterusnya membina Daulatul Faadhilah ( negeri yang penuh kemuliaan justeru mendapat ganjaran material dan keampunan Ilahi ) dan Ummatus Soolehah ( ummat yang terbaik dengan mewujudkan 3 elemen terpenting sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah dalam surah Ali Imraan Ayat 110 .)


110. Aali Imraan : Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.


3 elemen tersebut ialah :


Al Amrubil ma’ruf ( menguatkuasakan syariat )
An Nahyu anil Mungkar ( mencegah kemungkaran )
Al Imaanubillah ( beriman/yakin kepada Allah )

Penegasan terhadap Pembentukan TataLaku dan Disiplin yang Soleh .


Penegasan 1 : ( Bersihkan diri dgn taqwa dan hindarkan diri dari maksiat )


Dari surah Asy Syams Ayat : 7 - 10


7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai dengan keadaannya)


8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada ketaqwaan


9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)


10. Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).


Penegasan 2 : ( Hati yang murni dan tulus ikhlas dlm melaksanakan tugas )


Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Hurairah rha. katanya Rasulullah saw bersabda :


إِنَّ اللهَ تعالى لاَ يَنْظُرُ إِلىَ أَجْسَامِكُمْ وَ لاَ إِلىَ صُوَرِكُمْ وَ لكِنْ يَنْظُرُ إِلىَ قُلُوْبِكُمْ


Maksudnya : Sesungguhnya Allah taala tidak memandang kepada penampilan tubuh badan kamu dan tidak juga kepada penampilan zahir kamu akan tetapi Allah swt memandang kepada hati kamu .


Penegasan 3 : ( Positif dalam melakukan kebaikan dan menjadi contoh )


مَنْ سَنَّ في اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَىْءٌ وَ مَنْ سَنَّ في اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَ وِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ .


Maksudnya : Sesiapa yang memulai membuat sunnah dalam Islam berupa amalan yang baik , maka ia beroleh pahala dirinya sendiri dan juga pahala orang yang mengerjakannya selepas itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala mereka yang mencontohinya dan barangsiapa yang membuat sunnah dalam Islam berupa amalan buruk , maka ia beroleh dosa dirinya sendiri dan juga dosa orang yang mengerjakannya selepas itu tanpa dikurangi sedikit pun dari dosa mereka yang mencontohinya.


Riwayat Imam Muslim dari Abi Amr Jarir bin Abdullah rha.
Hadith yang pertama dari Bab 19 Kitab Riadhus Solehin .

No comments

Powered by Blogger.