Apa Yang Tak Kenanya Najib Turun Padang?
Untuk bersangka baik, tindakan Datuk Seri Najib Razak turun padang berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu lintas kelmarin harus dipuji. Cuma kita harap ia bukan langkah 'hangat-hangat tahi ayam' seperti Pak Lah yang ketika mula-mula berkuasa cuba mempromosi idea Islam Hadhari dengan mengimamkan solat Terawih. Tapi kemudian selepas dua tiga kali mengimamkan solat, tiada lagi berita beliau mengimamkan solat selepas itu.
Jika hendak menjadi wira rakyat, Najib perlu turun padang dengan lebih kerap. Bukan sahaja untuk meninjau masalah pengangkutan awam, tetapi juga meninjau lokasi-lokasi yang menjadi isu utama rungutan orang ramai seperti Hospital Kerajaan yang terkenal lewat menyampaikan perkhidmatan itu dan juga agensi-agensi Kerajaan lain yang sarat dengan pelbagai masalahseperti kaunter Imegresen, JPJ, PDRM, Pejabat Pos dan sebagainya.
Masalahnya jika PM turun padang dengan berpakaian rasmi atau separa rasmi, beliau tidak akan mendapat maklumat sebenar mengenai masalah yang cuba dirungkaikannya. Pegawai-pegawai yang sudah tahu PM akan turun padang, lazimnya akan membersihkan padang yang akan dilawati dan PM hanya akan melihat sesuatu yang baik sahaja di depannya. Selain dari itu turun padang yang diiringi 7-8 pengawal keselamatan juga tidak praktikal untuk mendekatkan beliau dengan rakyat.
Lebih elok jika PM turun dengan menyamar seperti yang pernah dilakukan oleh Khalifah Omar Abdul Aziz dahulu bagi memudahkan beliau mendekati rakyat tanpa mengetahui identiti sebenar beliau. Beliau boleh mendapatkan nasihat pakar solekan untuk mengubah identiti dengan berpakain lebih santai - berseluar jeans lusuh, bertopi, memakai rambut palsu panjang hitam pekat sambil menggalas beg sandang.
Dan sesuatu yang lebih penting PM perlu turun tanpa pengawal keselamatan yang cuma menjarakkan diri beliau dari mendekati rakyat. Jika takut kemungkinan ada yang ingin mencederakan beliau dengan C4, PM boleh membawa bersama 2-3 pengawal peribadi yang juga menyamar dengan pakaian dan identiti yangjuga santai.
Pemimpin yang menyamar untuk mendapatkan maklumat sebenar rakyat bukanlah perkara baru yang cuma dilakukan oleh Khalifah Omar Abdul Aziz sahaja. Malaysia juga tidak kurang dengan cerita pemimpin seperti Datuk Hassan Ibrahim (bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Datuk Ishak Tadin (bekas Pengurus Besar KTM) yang banyak kali turun padang dengan menyamar dengan pelbagai identiti untuk mengetahui masalah sebenar rakyat dan pelanggan agensinya.
Jika hendak turun padang, biarlah benar-benar turun padang. Jika turun padang setakat berjalan, bersalaman dan bertanya kabar seorangdua sambil diperhatikan pengawal keselamatan yang berwajah bengis dan tidak mesra rakyat, anda hanya membuang masa dan keringat kerana maklumat sebenar yang diinginkan tidak diperolehi.
Oleh: pendikar gunung kriang
No comments
Post a Comment