Kabinet Yang Temanya: 'Kasihan'


Bukan tidak mahu beri peluang. Setelah kita semua menanti dengan keterujaan dan penuh suspen, peluang menjadi tuang. Izinkan saya untuk menulis entri ini ala-ala 'posting' Tun Dr Mahathir di blognya:

1. Sungguh kasihan (bukan kasih) dengan barisan kabinet baharu. Tidak nampak bagaimana senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri yang ramai ini (tiada kesan langsung kabinet ini dikecilkan) akan dapat menarik minat golongan muda. Dengan kehilangan Ketua Pemuda UMNO, saudara Khairy dari senarai nama (tetapi dalam masa yang sama ketua sayap Wanita dan Puteri diberi ganjaran) maka cita-cita menarik minat golongan muda kepada parti pemerintah adalah ilusi yang sangat kabur. Bagaimana hasrat untuk menarik orang muda itu dapat dilakukan jika mereka yang ada terpisah dari hasrat orang muda? Selain itu muka baharu yang dijanjikan tidak cukup baharu, malah ternyata membosankan.

2. Sungguh kasihan (bukan kasih) dengan barisan kabinet baharu kerana formula Mahathirisme telah bertapak kembali dalam kabinet, yang hanya akan memudahkan laluan pembangkang (diketuai oleh 'orang itu') untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini dengan lebih mudah. Pengaruh Mahathirisme sangat membayangi kabinet sehingga ramai teman-teman dari parti UMNO yang menghubungi memberitahu, "PM tak berani dengan Mahathir! (nota: mereka tidak menggunakan perkataan takut)."

3. Sungguh kasihan (bukan kasih) dengan barisan kabinet baharu kerana tidak faham apa perlunya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri memegang portfolio tertentu dalam masa yang sama. Tidakkah lebih fokus dan terarah jika mereka memegang satu tugas di saat penuh mencabar ini. Dan tugas (kewangan/pelajaran) tersebut akan lebih meyakinkan jika diberi kepada mereka yang benar-benar berkelayakan.

4. Sungguh kasihan (bukan kasih) dengan barisan kabinet baharu kerana ia hanya akan menjadikan menteri-menteri tersebut 'lauk' buat barisan pembangkang untuk terus mara. Tiada sebarang elemen penebat untuk mengekang kemaraan kumpulan liberalis untuk terus menguasai negara. Malah, ada menteri yang mahukan perkataan Allah dikongsi semua. Kemasukan menteri yang ditolak rakyat dalam pilihan raya umum juga menunjukkan skala kasihan kita bertambah.

5. Sungguh kasihan (bukan kasih) dengan barisan kabinet baharu kerana dalam usaha menarik minat kaum bukan Melayu, si pengucup keris diberi tugas yang memerlukan 'ketenangan'. Rekod beliau yang tergesa-gesa dan rusuh 'dalam menuduh' telah terbukti apabila Mac lalu beliau melatah menuding intelektual Melayu (bijak pandai dan cendekiawan) yang membantah dasar PPSMI sebagai didalangi dan menjadi boneka pembangkang. Selepas menuduh sedemikian, untuk cover line beliau kembali membuat kenyataan bertentangan iaitu percaya GMP juga ikhlas.

6. Satu-satunya harapan (yang belum tentu boleh diharap) untuk pejuang bahasa ialah perlantikan Dr Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) dalam kabinet, beliau selama ini menuntut penilaian semula dasar PPSMI.

Walhasil kabinet ini temanya adalah kasihan bukannya pembaharuan, dan jauh sekali dari perubahan. Jangan kata tidak diingatkan. Sudah diingatkan berkali-kali; formulanya berubah bukan 'tak ubah-ubah'. Dengan kabinet kasihan ini, secara rasmi perlu dinyatakan buat penyokong parti pemerintah dan jalur konservatif: berita buruk untuk kalian. Akan kalian lihat gelombang kekuatan oposisi yang lebih menyeluruh selepas ini.

http://tehranifaisal.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.