Pencacai UMNO Membisu : Najib Umum Penghapusan Kuota 30% Bumiputera


PM Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penghapusan syarat 30% pegangan ekuiti bumiputera dalam usaha menarik pelaburan asing, teknologi dan menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi, di mana kerajaan semalam membuka pasaran 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan, berkuat kuasa serta-merta.

Ia meliputi perkhidmatan dalam bidang komputer dan yang berkaitan; pelancongan; kesihatan dan sosial; pengangkutan; sukan dan rekreasi; perniagaan; sewaan/pajakan tanpa operator serta pengangkutan sokongan dan bantuan.

berkata kerajaan juga akan membuka pasaran sektor kecil perkhidmatan lain secara berperingkat kerana perkhidmatan yang disasarkan itu menjadi sektor pertumbuhan baru ekonomi.

"Tak ada sebarang syarat ekuiti dan ia akan mencetuskan pelaburan yang makin meningkat dan menjadikan sektor perkhidmatan ini lebih berdaya maju, lebih kompetitif dan membolehkan kita bersaing pada peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media di pejabatnya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan buruk kepada industri perkhidmatan domestik kerana kerajaan memberi jaminan terus menyokongnya menerusi pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport.

Sokongan itu juga dilakukan menerusi dana berjumlah RM100 juta diperuntukkan di bawah pakej rangsangan ekonomi pertama yang diuruskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) bagi memperkukuhkan industri tempatan dalam menghadapi persekitaran sektor perkhidmatan lebih terbuka.

Najib berkata, menerusi liberalisasi sektor kecil perkhidmatan itu, kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan asing berlaku berbanding 11 peratus daripada keseluruhan pelaburan sektor perkhidmatan berjumlah RM50.1 bilion tahun lalu.

Kerajaan juga membenarkan lima firma guaman asing yang pakar dalam bidang kewangan Islam untuk menawar perkhidmatan di negara ini sebagai sebahagian usaha membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Sebelum ini, sewaktu mengumumkan barisan kabinet barunya, Najib juga telah memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang telah dibidas oleh banyak pihak sebagai satu langkah memutar jarum jam ke belakang di dalam usaha untuk mewujudkan dan membantu lebih ramai usahawan bumiputera.

Langkah meliberalisasikan 27 sektor kecil perkhidmatan tanpa sebarang syarat pegangan ekuiti tempatan dilihat sebagai satu cara Najib untuk memperkukuhkan ekonomi negara dengan mengorbankan kepentingan ekuiti masyarakat bumiputera.

Sehingga kini belum kedengaran para pejuang (baca: pencacai) UMNO seperti kenyataan-kenyataan balas pemimpin UMNO yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak istimewa orang Melayu, Ibrahim Ali bersama Perkasanya, Osman Bakar bersama Badan Bertindak Perpaduan Melayu dan juga Prowaris.

No comments

Powered by Blogger.