rakyat dok pening..tanya apa satu malaysia tu?

KUALA LUMPUR 12 April - Usaha pihak tertentu termasuk pembangkang menyamakan konsep Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia mesti segera dihentikan bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin UMNO menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai konsep tersebut tidak mengetepikan hak bumiputera dan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, bumiputera dan Melayu yang mewakili 60 peratus komposisi penduduk di negara ini sedia berdepan mana-mana pihak demi mempertahankan konsep Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan itu.

"Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang mana rakyatnya berjanji setia kepada raja dan negara. Kita mempunyai kedaulatan undang-undang, jadi jangan derhaka.

"Jika ada sesiapa yang cuba samakan Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia, Perkasa dan kaum bumiputera akan bangkit menentang mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi melahirkan kerisauan masyarakat bumiputera tentang cubaan sesetengah parti politik, media dan blog yang cuba memanipulasi maksud Satu Malaysia yang dibawa Najib.

Menurut Ibrahim, gerakan halus itu mahu memecahbelahkan masyarakat dan dikhuatiri cubaan menidakkan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelaskan, konsep Satu Malaysia adalah komitmen Najib dan kerajaan dalam memelihara keharmonian kaum berpaksikan kesejahteraan serta pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konsep ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum malah selari dengan Perlembagaan.

"Konsep 'Malaysian Malaysia' pula mementingkan sama rata dan sama rasa tetapi cenderung menafikan peruntukan Perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihak pembangkang tidak harus membangkitkan isu kesamarataan yang sebenarnya bukan menjadi keutamaan dalam konsep Satu Malaysia.

Beliau kesal dengan sikap pembangkang memanipulasi konsep tersebut semata-mata untuk mengelirukan rakyat kononnya kerajaan mengetepikan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Kata Rosnah, agenda jahat itu ternyata akan memberi kesan kepada perpaduan serta hubungan kaum di negara ini sekali gus merosakkan konsep yang matlamatnya ialah supaya rakyat Malaysia bersatu, berpadu dan bersama-sama membangunkan negara.

''Kita tidak mahu konsep itu dicanang oleh pembangkang menyamai Malaysian Malaysia kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang berbeza,'' katanya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, pihak terbabit terutama para penulis blog seperti tidak mengakui usaha kerajaan selama ini yang mengambil kira kepentingan semua kaum.

"Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga kepentingan Cina dan India dalam menghormati kewujudan sekolah vernakular.

"Malaysian Malaysia pula berbahaya bagi kelangsungan orang Melayu dan pribumi yang mana kedudukan raja-raja Melayu dicabar, kedaulatan Islam diperkotak-katikkan manakala kedudukan bahasa Melayu disamaratakan," jelasnya.

Sementara itu, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) juga menyeru rakyat Malaysia terutama bumiputera terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan kehormatan raja-raja serta bahasa Melayu demi mengekalkan keharmonian negara.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar mengingatkan, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Najib masih menghormati dan mengiktiraf kepentingan semua pihak dengan mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ikatan kesejahteraan kaum selama ini.

"Jadi, jika ia disamakan dengan Malaysian Malaysia, ia salah dan berbahaya. Jangan terkeliru dengan dakyah DAP dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Justeru, beliau meminta kerajaan memantau gerakan halus ini sama ada menerusi media perdana mahu pun blog serta mengambil tindakan bagi menghentikan penyebaran sentimen yang mampu menggugat keharmonian kaum itu.

No comments

Powered by Blogger.