Shahidan Oh Shahidan
Agak melucukan apabila membaca kenyataan mantan MB Perlis Shahidan Kassim yang kecewa kerana tiada wakil dari negeri yang mempunyai tiga kawasan undi Parlimen itu dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.
Shahidan melahirkan rasa kecewanya kerana, menurut beliau, Perlis menang besar pada pilihan raya umum lepas tetapi kemenangan itu tidak dihargai termasuk melantik salah seorang Ahli Dewan Rakyat dari Perlis sebagai timbalan menteri, sekurang-kurangnya.
Dalam Kabinet Tun Mahathir, Perlis mendapat penghormatan besar kerana dua daripaa tiga ahli Dewan Rakyatnya dilantik menteri penuh, iaitu Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad.
Azmi dan Radzi masih mewakili kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Padang Besar dan Kangar manakala Arau mempunyai wakil rakyat baru.
Siapakah wakil rakyat (MP) Arau? Tidak lain adik Shahidan sendiri, Ismail Kassim.
Kita boleh membaca kekesalan Shahidan kerana adiknya tidak dilantik sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri kerana tidak masuk akal sekiranya Azmi atau Radzi dilantik kerana mereka pernah menjadi menteri penuh. Saya kata demikian kerana Shahidan sendiri berkata sekurang-kurang seorang wakil Perlis dilantik sebagai timbalan menteri, tentulah Ismail Kassim, masakan Azmi atau Radzi yang pernah jadi menteri nak turun pangkat sebagai timbalan menteri.
Apabila kenyataan Shahidan diulas oleh TPM Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri bukan berdasarkan negeri, maka Shahidan mempunyai jawapan. Dia mahu Muhyiddin menjadi pengerusi UMNO Perlis.
Shahidan tidak setuju dengan saranan KM Melaka Ali Rustam bahawa MB atau KM seharusnya menjadi pengerusi UMNO Negeri. Di Perlis, MB Isa Sabu bukan pengerusi tetapi Shahidan. Oleh itu, Shahidan termakan cili padi kerana suka atau tidak, kenyataan Ali yang disokong pula oleh Isa Sabu, merujuk kepada keududukannya.
Shahidan memberi alasan bahawa jika Muhyiddin mengetuai UMNO Perlis, maka segala masalah (termasuk perebutan jawatan) dalam UMNO di negeri paling kecil di Malaysia itu akan selesai.
Rakyat perlis, terutama ahli UMNO, cukup matang dengan permainan politik Shahidan. Begitu juga dengan Azmi, Radzi dan YM Syed Radzlan ibni Syed Putra Jamalullail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan mantan MP Arau.
kuda ranggi
No comments
Post a Comment