TOLAK ISLAM KERANA “DEGIL”

Di dalam Sirah Nabi Muhammad SAW, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda SAW ditolak oleh golongan-golongan Pembesar Quraisy. Mereka juga telah menawarkan tawaran yang begitu lumayan kepada Baginda SAW supaya tidak lagi meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan kebenaran. Mereka begitu takut sekiranya pengaruh dan kepentingan mereka terhakis disebabkan kewujudan Islam yang bercanggah dengan amalan jahiliyyah mereka selama ini.

Selain itu, mereka juga mengancam keselamatan Nabi Muhammad SAW sekiranya Baginda masih meneruskan perjuangannya tersebut. Namun, ia langsung tidak dihiraukan oleh Baginda SAW kerana harta dunia akan lenyap, sedangkan agama itu akan terus hidup dan berkembang. Dakwah yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada pembesar Quraisy dengan pelbagai cara untuk memahamkan mereka.

Namun, apa yang terjadi ialah kedegilan mereka untuk menerima Islam. Mereka sudah pun memahami bahawa Nabi Muhammad SAW membawa satu kebenaran yang nyata dan jelas, namun mereka masih menolaknya kerana kedegilan mereka, dan kepentingan mereka. Mereka khuatir sekiranya mereka mengikut Nabi Muhammad SAW, segala kemewahan yang mereka miliki akan hilang, pangkat kebesaran mereka akan tercabut dan pengaruh mereka akan luput.

Begitulah apa yang terjadi hari ini, kebenaran itu sudah jelas nyata di hadapan mata. Tetapi Islam masih ditolak kerana kedegilan manusia hari ini, sama seperti pembesar-pembesar jahiliyyah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka sudah pun tahu bahawa tindakan mereka adalah salah, namun, demi kepentingan, mereka sanggup untuk berpijak di atas kejahiliyyahan.

Demi menjaga kedudukan, mereka sanggup melakukan apa sahaja, tidak kira halal atau haram seperti rasuah, melanggar undang-undang, membuat kerosakan dan sebagainya. Begitu juga harta yang mereka sayangi. Mereka tidak sanggup kehilangan harta sekiranya mengikut kebenaran yang jelas ini. Mereka juga khuatir pengaruh mereka yang selama ini mereka bentuk di atas jalan yang bersifat kepentingan, akan hilang begitu sahaja kerana berada di jalan yang benar.

Sekiranya Nabi Muhammad SAW ditawarkan dengan kekayaan yang tiada bandingannya, hari ini pejuang-pejuang Islam yang mewarisi perjuangan Nabi SAW turut ditawarkan dengan jutaan ringgit sebagai rasuah, untuk menggagalkan misi perjuangan mereka. Maka, siapakah dia Abu Jahal dan Abu Lahab pada hari ini?

Golongan-golongan pembesar di zaman Nabi SAW berdegil untuk mempertahankan kedudukannya, walaupun kebenaran itu jelas nyata di hadapan mata mereka. Mereka mempertahankannya juga walaupun terpaksa melakukan apa sahaja, asalkan kepentingan yang mereka canang, berhasil.

Mereka juga sanggup menipu, merampas hak orang lain dan sebagainya, asalkan kedudukan mereka berkekalan. Atau dengan kata lain, asalkan duit masuk poket. Inilah apa yang terjadi hari ini. Siapakah yang menzalimi diri mereka kalau bukan diri mereka sendiri? Mereka sengaja berdegil daripada menerima kebenaran. Sengaja menutup telinga dan mata mereka daripada mendengar kebenaran yang sudah jelas nyata.

Salam Perjuangan,

Dr Fikrah

No comments

Powered by Blogger.