Topeng Altantuya mulai 'berhantu' di Bukit Gantang
KETIKA Barisan Nasional (BN) masih terkial-kial merebut sokongan rakyat, petugas Pakatan Rakyat terus melangkah ke hadapan, tulis Atif Idris dari Kelantan yang turun ke Bukit Gantang baru-baru ini.
Hakikat itu diakui sendiri Timbalan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek yang melahirkan rasa kagum apabila melihat jentera Pakatan Rakyat yang jauh ke hadapan berbanding BN. Luahan itu dimuat dalam sebuah laman web baru-baru ini.
Kesempatan mengunjungi kawasan pilihan raya di Bukit Gantang memperlihatkan gerak kerja petugas tempatan dan luar bekerja tanpa mengira masa. Bagi petugas tempatan sebaik sahaja kembali dari tempat kerja, mereka turun padang bersama petugas luar berkempen memenangkan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.
Penat lelah berkempen agak terubat apabila diperkenakan mee undang di Kuala Sepetang. Agak tidak keterlaluan apabila markah awal sudah mampu diberi kepada Pakatan pada hari penamaan calon.
Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan BN yang Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lebih menarik lagi sokongan padu masyarakat Cina dan India terhadap calon Pakatan Rakyat jarang kelihatan di tempat lain sebelum ini.
Mereka berarak menuju ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama. Sebelum Subuh lagi perkarangan Masjid Lama Bandar Taiping dan juga masjid sekitarnya telah pun dibanjiri penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
Di sepanjang jalan, di kaki-kaki lima kedai dipenuhi mereka dari pelbagai bangsa yang mempamerkan bermacam ragam. Ada yang memakai lilit kepala, bertopeng wajah Nizar dan ada juga mengenakan topeng Altantuya.
Mereka tidak penat mengebarkan bendera bulan, mata dan roket. Penyokong Pakatan Rakyat beransur-ansur bergerak ke Majlis Perbandaran Taiping seawal jam 7 pagi. Paling menyeronokkan bagi tauke-tauke restoran atau pemilik kedai makan. Kehadiran orang ramai melimpah rezeki mereka hari itu.
Juga tidak kurang menarik ketika menantikan pengisytiharan nama-nama calon, beberapa acara spontan diadakan di tengah-tengah himpunan penyokong Pakatan. Antaranya acara protes terhadap penggantungan akhbar alternatif Harakah dan dua acara ‘speaker corner’.
Kehadiran juara Akademi Nasyid tv9, Azhan Atan menghangatkan lagi speaker corner apabila beliau mendendangkan beberapa lagu nasyid. Beliau meminta pengundi memilih calon dan parti yang boleh dipercayai.
“Jangan pilih pemimpin mengamalkan rasuah. Pilih pemimpin yang sering mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
“Paling utama ialah parti yang memartabatkan Islam tanpa membelakangi kaum bukan Islam,” ujarnya.
No comments
Post a Comment