UMNO: Kalau Kita Bodoh, Jangan Halang Orang Lain Jadi Pandai!
Teringat seloroh al-Marhum Fadhil Noor mengenai seorang yang sayangkan kasut barunya. Dia bungkus kasut itu dan simpan elok-elok. Dia lebih rela berkaki ayam daripada memakai kasut baru itu, sayang. Seorang sahabat pula berseloroh mengenai seorang yang baru berkahwin. Dia tidak buat apa-apa pun dengan isterinya dan tidak benarkan isterinya buat apa-apa pun untuknya. “Sayang”, katanya.
Bagi orang waras kedua-dua jenis sayang di atas dikira tidak bertempat. Demikian sebahagian orang yang sayangkan al-Quran. Dibungkusnya baik-baik, diletak di atas para atau alang rumah, tidak dibenarkan sesiapa mengusiknya. Sekali-sekali diturunkannya, dibersihkan, dicium dan disimpan kembali, sayang.
Ada orang menggantung atau meletak al-Quran di dalam kereta. Kalau yang bersaiz kecil digantung di cermin pandang belakang. Kalau yang bersaiz sederhana di letak di atas papan pemuka atau disimpan di dalam laci. Cuba tanya orang yang buat begitu, untuk apa? Rasanya dia jawab, “Ambil berkat”, dan mungkin juga penangkal mengelak bencana.
Nga seorang Kristian. Ayat yang dibacanya adalah ayat 90 Surah an-Nahl. Disebutnya ‘surah Aura’. Saya percaya Nga tidak mencari sendiri ayat itu tetapi dia bertanya kepada orang yang dia yakin tahu mengenainya. Mungkin orang yang memberitahunya mengatakan ‘Surah al-Isra’ atau Surah al-A’raf’ atau surah lain tetapi didengarnya ‘Surah Aura’, dan dia pun menyebutnya begitu. Kalau begitu, orang yang memberitahu pun silap, orang yang menyebut pun silap.
Kalau Nga mencari sendiri dan dia tersilap, itu perkara biasa. Kalau orang menyebutnya betul dan dia silap mendengarnya, itu juga biasa. Atau, dia mendengar betul tetapi tersilap sebut itu juga biasa. Bukankah dia adalah Nga? Tetapi kalau orang yang memberitahunya tersilap, sedangkan yang memberitahu itu adalah orang Islam, apa hal?
Memang, tersilap memberitahu surah tidak salah. Tetapi itu menggambarkan kualiti pengetahuan orang Islam itu terhadap kitab suci itu.
Kalau ada orang Islam yang mengaku sayang al-Quran tetapi sekadar meletakkannya di atas dashboard kereta atau di dalam laci sekadar untuk ambil berkat, mengapa orang Islam itu tidak dimarah? Kemana kereta pergi al-Quran ada tetapi kitab itu hanya bersama kereta tidak bersama tuan kereta? Dia tidak dimarah? Mengapa Nga yang baca al-Quran dengan telo bukan Arab dalam ceramah politik itu dimarah?
Dia kafir. Dimana salahnya orang kafir baca al-Quran? Orang yang kata salah orang kafir baca al-Quran, mungkin orang itu pun tak baca al-Quran. Kalau dia baca, dia tak akan kata begitu. Mengapa? Bacalah al-Quran, ada jawapannya. Kalau tak jumpa, itulah kualiti pengetahuan orang Islam terhadap al-Quran.
Dia baca di majlis politik. Kalau boleh baca al-Quran di majlis ekonomi, di majlis keusahawanan, di majlis pendidikan, di majlis ketenteraan, apa bezanya itu semua dengan majlis politik?
Bacaannya mengelirukan. Dia mengelirukan siapa? Kalau ada orang Islam yang terkeliru dengan bacaan Nga, ini sudah kira berat. Macam mana orang Islam pula yang boleh terkeliru?
Dia baca di tempat awam. Itulah kelebihannya, dia berani. Ada orang Islam yang tak berani baca al-Quran depan orang lain pun. Suruh jadi imam sembahyang Maghrib pun ‘ketaq lutut’.
Niatnya menghina al-Quran. Kalau dia membaca dengan niat menghina al-Quran memang dia bersalah. Tetapi, siapa tahu niatnya? Bagaimana pula dengan orang Islam sendiri yang tidak membaca al-Quran dan mempertikai perintah al-Quran? Orang Islam yang tak tutup aurat macam mana? Bukankah itu perintah al-Quran. Boleh atau tidak, orang yang tidak mengikut perintah al-Quran kita kata bahawa dia ada niat menghina al-Quran? Menghina dengan perbuatan!
Saya bukan ingin membela Nga dengan sembrono seperti orang yang menyerangnya dengan sembrono. Bagi saya bukan saja Nga, kalau Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Karpal Singh nak membaca al-Quran, apa salahnya?
Dalam keadaan sebegini sepatutnya kita orang Islam berperanan. Apabila mereka sudah membaca, peranan kitalah untuk mengajak mereka memahami dan mendalami isi kandungan kitab itu. Tampilkan kehebatan kitab itu di hadapan mereka.
Mengapa kita perlu menghalangnya? Atau kita menghalangnya kerana kita sendiri pun tidak tahu. Kita sendiri pun tak tahu macam mana nak mendedahkan kehebatan al-Quran kepadanya. Disebabkan takut dia tahu bahawa kita tidak tahu, jalan selamat jangan benarkan dia tahu. Bukankah manusia adalah musuh kepada apa yang dia tidak tahu?
Atau, kerana Nga adalah DAP?
Kalau kita bodoh, janganlah halang orang lain untuk jadi pandai.
http://bongkarsauh.blogspot.com/
2 comments
Salam,
Aku setuju dengan pendapat engkau, orang islam hadhari hanya tahu mengkritik tetapi tidak tahu mempraktikkan Al Quran...
umno memang bodoh..bodoh sombong....... kononya pembela agama la katakan kahkahkahkahkah...
Post a Comment