Written by Neo Chee Hua (Merdeka Review)
Monday, 28 September 2009 12:57



Kebetulannya, kerajaan membuat pengumuman mengejut baru-baru ini mahu menggunakan jenama Lotus di bawah syarikat Proton untuk menyertai Kejohanan Dunia Formula Satu (F1), sukan yang paling ‘menghanguskan wang’.

Misalnya, bajet pasukan kereta terunggul, Ferrari ialah 200 juta £ (kira-kira RM1.1 billion) setiap tahun. Toyota yang menghanguskan US$450 juta setahun, gagal mengecapi nikmat juara dalam apa-apa acara sehingga kini.

Honda yang menghanguskan US$380 juta pada tahun 2006, menarik diri dari F1 pada tahun 2008. Biarpun Honda antara pengilang kereta yang paling untung di dunia, juga tidak menganggap dirinya mampu menampung beban perbelanjaan yang seberat ini.

Walaupun BMW sebagai pengilang kereta yang terbesar di dunia, juga kelihatan tidak tahan dengan perbelanjaan kira-kira US$300 juta setahun secara puratanya, lalu mengumumkan untuk menarik diri setelah tamatnya musim perlumbaan tahun ini.

Banyak pengilang kereta bertaraf antarabangsa yang terkemuka di dunia seperti Volkswagen, Audi dan Mitsubishi tidak memiliki pasukan kereta lumba sendiri. Selain itu, Hyundai juga tidak menubuhkan pasukan untuk menyertai F1.

Kaki tidak memijak tanah

Picture source: Merdeka Review

Andaikan perbelanjaan tahunan pasukan lumba kereta F1 ‘1Malaysia’ ini berdasarkan Budget Cap 40 juta £, ditambah dengan kos pemandu sebanyak US$500,000 dan kos enjin sebanyak US$15 juta (bajet pasukan kecil), maka sekurang-kurangnya US$55.5 juta (atau RM195.36 juta) dihanguskan dalam tempoh setahun. Perbelanjaan ini tidak termasuk kos permulaan untuk menubuhkan satu pasukan kereta lumba.

[KEMASKINI/Nota pengarang CPI: Bernama telah melaporkan bahawa belanjawan tahunan untuk pasukan 1Malaysia F1 dianggarkan berjumlah RM300 juta manakala modal awal yang diperlukan ialah RM168 juta.]

Apakah penyertaan F1 memanfaatkan Proton atau Lotus dalam R&D automotif? Pertikaian ini berlanjutan memandangkan penyertaan F1 tidak bersamaan dengan keyakinan pengguna terhadap teknologi automotif Proton.

Sebagaimana yang diketahui, pasukan lumba kereta F1 ‘1Malaysia’ ini bakal melabur 10 juta £ (kira-kira RM57 juta) untuk meneroka enjin Lotus pada peringkat permulaan. Pelaburan dengan angka yang sekecil ini tidak akan menemui teknologi yang canggih. Ia sekadar ‘pembaikan enjin’ agar memenuhi syarat kelayakan paling asas untuk meluncur di litar F1. Impian kerajaan untuk menjadi “peneraju teknologi automotif, dan bukan pengikut semata-mata” nampaknya tidak memijak tanah.

Keduanya, ranking dalam F1 tidak semestinya berkadar langsung dengan populariti di pasaran. Misalnya, pasukan Toyota yang tidak pernah tampil sebagai juara dalam tempoh tujuh tahun yang lalu, tetapi berjaya menumpaskan pesaingnya General Motor di pasaran pengguna automotif. Dalam dunia realiti di luar litar F1, Toyota ialah juara pembuat dan pengeluar automotif.

Yakin terhadap jenama Proton?

Menurut penganalisa dalam bidang automotif, tidak dinafikan bahawa jenama Lotus dikenali ramai. Namun, kita perlu kembali ke alam nyata bahawa Proton belum memahat nama di litar kereta lumba yang memerlukan kecanggihan teknologi.

Mungkin kita perlu berlega seandainya pasukan ‘1Malaysia’ berjaya menghabiskan litar. Jikalau pasukan ‘1Malaysia’ ini mengalas di tempat terakhir saban kali, atau terbakar di tengah perlumbaan dan terpaksa menarik diri, maka Proton akan mengaibkan Malaysia di seluruh dunia, dan menjadi bahan lawak.

Penganalisa berpendapat Proton seharusnya meneladani industri automotif moden yang menumpukan sumbernya untuk mengkaji model affordable car, dan bukannya menumpukan perhatian untuk membentuk persepsi bahawa kereta Proton berkeupayaan tinggi.

Proton Saga model baru, Exora MPV, Persona dan sebagainya yang dipasarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang memberangsangkan, lantas melambungkan graf penjualan kereta Proton dari jurang.

Pada detik saat Proton mula mendapat pelampungnya, ia seharusnya menggunakan dana yang ada dengan sebaik-baiknya. Proton seharusnya menerokai passenger car yang lebih mendampingi keperluan pengguna biasa, dan bukannya menghambat kepantasan dan keghairahan F1.

[KEMASKINI/Nota pengarang CPI: Projek 1Malaysia F1 Team dibiayai secara swasta dan adalah milik bersama Tune Group (Tony Fernandez dan
Tony Fernandez (Picture courtesy of Merdeka Review)

Kamarudin Meranun), Naza Group dan Litespeed UK – laporan Bernama.]

Selain itu, F1 mungkin membantu untuk mempertingkatkan reputasi Proton di pentas antarabangsa, dengan menggunakan jenama Lotus. Namun, ini tidak bermakna pengguna akan menaruh keyakinan terhadap kereta Proton.

Liberalisasi dasar automotif

Proton sebagai teras industri automotif negara pernah berada di puncak pasaran tempatan, dengan menguasai lebih 60% pasaran pada tahun 2002. Tetapi pasaran kereta Proton jatuh merudum hingga 30% pada 2009 selepas semakin ramai pengguna mengalih minat kepada kereta nasional kedua, Perodua.

Menurut laporan kewangan Proton Holdings Bhd tahun 2008, sejumlah 156,845 unit kereta dijual pada tahun tersebut, termasuk 18,428 unit kereta yang dieksport. Penjualan kereta Proton di Britain ialah 1,518 unit berbanding Hyundai sebanyak 28,036 unit.

Penjualan Toyota pada tahun yang sama ialah 8.97 juta unit di seluruh dunia.

Kerajaan ingin menggunakan F1 untuk mengubah persepsi pasaran terhadap Proton tetapi sebenarnya perkongsian strategi dengan syarikat kereta asing untuk mempertingkatkan teknologi automotif Proton mungkin lebih realistik berbanding penyertaan F1.

Proton yang selama ini dilindungi kerajaan akan hilang kelebihannya dengan pengkajian semula Dasar Automotif Negara (National Automotive Policy/NAP) yang dikhabarkan merancang untuk meliberalisasi pasaran industri automotif tempatan serta meningkatkan persaingan.

Sejauh manakah Proton boleh bertahan tatkala berdepan dengan pemindaan NAP -- yang akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bulan depan -- serta pembebasan pasaran lantaran Asean Free Trade Agreement (Afta)?

Garis pemisah dan definisi baru

Dalam NAP baru, syarikat automitif di Malaysia tidak lagi dipisahkan dengan ‘kereta nasional’ dan ‘kereta bukan-nasional’. Sebaliknya, garis pemisah yang baru ialah kereta tempatan (local) dan kereta bukan tempatan (non-local).

Dalam pendefinisian baru, kereta yang dibuat atau dipasang di Malaysia akan diklasifikasikan sebagai kereta tempatan. Syarikat pelabur asing mahupun syarikat kereta tempatan akan menikmati keistimewaan yang samarata. Sementara itu, kerajaan berniat untuk mengambil sikap lebih terbuka terhadap syarikat yang ingin mendirikan kilang pembuatan atau pemasangan kereta di Malaysia.

Langkah ini bertujuan untuk menarik lebih pelabur asing, terutamanya pelaburan langsung luar negara yang boleh membawa nilai tambahan (value added). Dahulunya, pengilang kereta asing memberi tumpuan utama dalam perusahaan kereta pemasangan tempatan (Completely Knocked Down, CKD) yang tidak melibatkan R&D teknologi baru.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan asing dalam perusahaan pemasangan kereta semakin berkurangan. Lebih-lebih lagi, kecenderungan NAP untuk melindungi kereta nasional telah mendorong ramai pengilang asing memindahkan perusahaan pemasangan kereta ke negara jiran yang menawarkan lebih banyak keistimewaan, seperti negeri Thai dan Indonesia.

Proton hilang kedudukan istimewa

Lebih penting, setelah Afta dilaksanakan, cukai import menurun secara mendadak kepada 5% maksimanya. Import car franchiser mendapati kos untuk mengimport kereta dari negeri Thai ke Malaysia adalah lebih rendah berdasarkan Afta. Ini menjurus kepada satu situasi di mana kereta yang diimport terus dari negara jiran lebih banyak daripada ‘kereta import yang dipasang’ di tempatan.

Perombakan NAP menghilangkan monopoli dua dekad Proton dalam pasaran kereta negara. Menurut definisi baru, Proton tidak lagi menikmati keistimewaan sebagai ‘kereta nasional’, tetapi perlu bersaing dengan semua syarikat ‘kereta tempatan’.

Kini, kereta Proton hanya mempunyai dua jalan, sama ada menjalankan reformasi secara menyeluruh, mempertingkatkan diri ke peringkat rantai nilai tambahan (value added chain), atau membilang hari-hari terakhir apabila dirinya tersingkir dari pasaran.

Untuk kereta Proton, mengikatkan diri dengan rantai nilai tambahan merupakan cabaran yang hebat. Dalam jangka 25 tahun yang lalu, kebanyakan masanya Proton merupakan Mitsubishi-based car, iaitu kereta dengan enjin dan rekaan Mitsubishi tetapi berlabel Proton.

Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, barulah Proton memulakan R&D enjin sendiri.

Biar Proton tentukan masa depan sendiri

Nissan dan Renault adalah contoh yang amat baik sebuah perkongsian strategi. Mereka telah menandatangani satu perjanjian pada Mac 1999, memberi laluan kepada usahasama bukan sahaja dalam bidang pemasaran, produk dan pembuatan, memperkenalkan jenama dan network penjualan di seluruh dunia, malah berkongsi hasil R&D.

Pada tahun 2002, Nissan-Renault mencatat penjualan lebih lima juta unit di seluruh dunia, iaitu 9.1% daripada pasaran kereta dunia. Lantaran itu, Nissan-Renault muncul sebagai antara lima kumpulan syarikat kereta yang terbesar di dunia.

Pada hakikatnya, perkongsian strategi tidak asing untuk Proton. Lahirnya Proton pada September 1985 bersandarkan usahasama dengan Mitsubishi. Misalnya, model Proton Wira berasal dari Lancer/Colt, manakala model Proton Perdana pula berasal dari Galant/Eterna.

Akan tetapi ‘perkahwinan’ sedemikian gagal membantu Proton berdiri atas kaki sendiri.

Oleh itu, apabila rundingan ‘pakatan strategi’ (strategic partnership) antara Proton dengan Volkswagen dimulakan, fokus ditumpukan kepada perkongsian dan pemindahan teknologi baru. Walaupun kedua-dua pihak mencapai persefahaman dari rangka usahasamanya, namun perundingan ini ‘tumbang’ pada Januari 2006 apabila kerajaan enggan melepaskan saham majoriti kepada Volkswagen.

Spekulasi terbaru adalah Renault mungkin menggantikan Volkswagen sebagai pakatan strategik. Malah, DRB Hicom yang dikuasai usahawan terkemuka, Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Kumpulan Naza kelihatan ‘amat berminat’ dengan Proton.

Proton boleh menawarkan kilang pembuatan keretanya di Tanjung Malim sebagai kemudahan pemasangan ‘kereta import’ kepada pelabur asing yang kemudiannya boleh menikmati keistimewaan untuk mengekport ke pasaran Asean di bawah Afta.

Namun, NAP yang bakal diumumkan akan memberi lampu hijau kepada pelabur asing yang membuat dan memasang kereta di Malaysia untuk menerima layanan dan keistimewaan yang setaraf dengan Proton.

Dalam keadaan sedemikian, tidak banyak ‘modal’ yang boleh dibawa oleh Proton ke meja perundingan. Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan mengetepikan ‘maruah negara’, lalu menyerah kepada Proton untuk menentukan masa depan sendiri.

Neo Chee Hua ialah penolong pengarang MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang. Ringkasan disusun oleh CPI dengan izin Merdeka Review.

Rencana ini boleh dibaca sepenuhnya di laman-laman di bawah:

Bhg 1: Liberalisasi Dasar Automotif: Proton hilang kelebihan

Bhg 2: Formula 1: Proton bermain api

Bhg 3: Penyertaan F1 bakal kembalikan keyakinan terhadap Proton?

Bhg 4: Biar Proton tentukan masa depan sendiri

No comments

Powered by Blogger.