Nantikan: Turning point untuk MCA

Tidak ada mana-mana ahli malah pemimpin MCA sekali pun yang melebihi parti. Segala ugutan ataupun taktik keras sedemikian tidak akan mengoyahkan tekad kepemimpinan parti untuk mengembalikan maruah MCA di mata masyarakat Cina. Inilah juga kesempatan terbaik untuk pucuk kepemimpinan parti mengetahui dengan mata sendiri siapakah sebenarnya ahli-ahli parti yang benar-benar setia kepada parti... Kuantiti tidak melambangkan apa-apa. Sebaliknya, parti tersebut akan hanya dihormati dan digeruni jika ia memiliki ahli-ahli yang berkualiti bukan sahaja dari aspek pemikirannya, tingkah laku bahkan juga mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak tanpa dipengaruhi emosi.

Artikel:

Merujuk kepada sebuah artikel nukilan wartawan Berita Harian, Jamhariah Jaafar yang terbit pada 26 September 2009 lalu dengan tajuk utamanya ”Krisis MCA retak menunggu”. Penulis tersebut dalam hujah-hujahnya memberikan gambaran yang mengelirukan dan berat sebelah kerana hanya melihat krisis politik MCA dari satu sudut sahaja.

Antara hujah yang dikemukakan beliau ialah krisis MCA kini diibaratkan retak menunggu belah. Kepada penulis itu, apakah maksud retak menunggu belah? Adakah MCA begitu tenat sehingga kesemua 940,000 ahli yang sedia ada, semuanya memberontak terhadap kepemimpinan Presiden Parti, Dato’ Sri Ong Tee Keat? Apakah para perwakilan MCA tidak mempunyai pendirian sendiri sehingga begitu mudah termakan dengan emosi dan janji-janji pihak yang mahu mengadakan EGM?

Komuniti Cina sokong pemimpin bermoral

Apa yang tidak dinyatakan oleh penulis itu ialah masih ada sebahagian besar ahli-ahli parti serta komuniti Cina yang berdiri teguh di belakang Tee Keat. Beberapa orang pemimpin komuniti terkenal seperti Tan Sri Robert Phang dan Datuk Chor Chee Heung sudah tampil menyatakan sokongan mereka kepada kepemimpinan Tee Keat.

Selain itu, selaklah surat-surat pembaca yang terbit dalam akhbar-akhbar perdana dan didapati ramai pembaca atau lebih tepat lagi rakyat jelata telah menyatakan pendirian mereka. Rata-ratanya mahu melihat MCA diterajui oleh seorang pemimpin berkaliber dan bermoral.

Kewujudan fraksi sesuatu yang normal dalam politik

Apa yang cukup menghairankan juga ialah artikel tersebut turut menyatakan penganjuran EGM kali ini tidak akan menjanjikan apa-apa kesudahan melainkan kewujudan dua kem/fraksi. Ini cukup melucukan! Apakah penulis awal-awal lagi sudah mengetahui kesudahan EGM sehingga begitu yakin memberikan kesimpulan sedemikian?

Dalam mana-mana parti politik sekalipun, kewujudan fraksi sememangnya tidak dapat dielakkan. Selagi ada satu pihak yang bercita-cita tinggi untuk menaiki hierarki parti dan selagi wujudnya semangat berpuak-puak, maka selama itu jugalah fraksi ini akan berpanjangan.
EGM menghormati hak perwakilan

Dalam konteks ini, tindakan pucuk kepemimpinan parti untuk hanya mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dilihat cara terbaik untuk mengatasi kemelut ini. Adalah merupakan satu pandangan yang cukup naif untuk mengatakan kesudahan EGM tidak akan menjanjikan apa-apa.

Sekurang-kurangnya EGM tersebut akan memberikan ruang seluas-luasnya kepada para perwakilan sebanyak 2,377 untuk menyuarakan pendirian mereka terhadap lima resolusi yang dikemukakan.

Dengan ruang yang diberikan kepada para perwakilan untuk bersuara pada EGM nanti, ia sebenarnya membolehkan proses demokrasi terus bercambah dalam MCA dan menidakkan segala tohmahan kononnya parti tersebut diterajui oleh seorang pemimpin diktator.

Pada hemat saya, keputusan untuk hanya mengadakan satu EGM dan kesediaan pucuk kepemimpinan parti mempersetujui kepada lima resolusi yang dikehendaki pihak lawan, menjadi turning point kepada memecahkan kebuntuan dalam krisis tersebut.

Cumanya, insan yang bergelar manusia tidak pernah merasa puas hati dengan apa yang kita miliki. Lagi banyak konsesi yang diberikannya, lagi banyak yang ingin dituntutnya. Biasalah, itu kan naluri manusia yang sentiasa mahu memenuhi kehendaknya.

Mengambil kira krisis politik MCA sekarang, adalah jelas apa sekali pun usaha oleh pucuk kepemimpinan parti untuk meredakan suasana, pun akan dikritik. Maka kerana itu, pucuk kepemimpinan parti tidak perlu melayan kerenah-kerenah pihak berkepentingan kerana jika tuntutan-tuntutan sedemikian dilayan, nescaya krisis politik MCA tidak akan berkesudahan malah bertambah kompleks lagi di kemudian hari.

Justeru, adalah tidak berasas sama sekali untuk menyifatkan Tee Keat terperangkap dalam usahanya menyingkirkan Soi Lek. Apakah manfaat yang akan diperoleh oleh parti MCA sekiranya Timbalan Presidennya disingkirkan?

Soal perundangan dan integriti

Dalam kita membincangkan mengenai isu skandal seks Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek, si penulis tadi ada mengatakan: Kemelut MCA ini tidak patut berlaku terutama selepas ahli-ahli MCA kelihatan sudah mengampunkan dosa Soi Lek apabila memilih beliau sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti Oktober 2008 lalu.

Soalnya di sini bukan sama ada Soi Lek telah mengakui kesilapannya atau tidak, kita sedang berbicara mengenai soal perundangan, moral dan integriti seseorang pemimpin. Pada ketika BN kini berhadapan dengan masalah persepsi dan imej yang kurang elok, adalah satu kesilapan besar dan merupakan political suicide untuk terus bergantung harap kepada pemimpin yang dilanda skandal.

Tidak kira sama ada dari UMNO, MCA mahupun MIC, isu perundangan, moraliti serta integriti pemimpin perlu diberi keutamaan tertinggi. Jika isu perundangan, moraliti dan integriti boleh digadaikan, bayangkan apa yang akan berlaku kepada parti tersebut.

Kita semua sedar Soi Lek merupakan seorang pemimpin yang berkaliber. Itulah hakikat. Malah semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan dahulu, beliau telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dan telah memperkenalkan beberapa pembaharuan.

Namun begitu, realiti sebenar amat pahit untuk diterima. Yang telah berlaku tetap telah berlaku dan yang bersalah tetap bersalah. Para perwakilan telah menyatakan pendirian mereka untuk memilih Soi Lek sebagai Timbalan Presiden, namun pendirian perwakilan mungkin tidak sama dengan apa yang difikirkan oleh para pengundi.


Para perwakilan merupakan ahli dalam parti dan sudah semestinya mereka cenderung mengundi seseorang bagi memastikan kepentingannya terjamin. Tetapi untuk para pengundi tidak sama. Mereka hanyalah pemerhati, merekalah hanya pengundi yang akan membuang undi setiap lima tahun sekali. Tetapi ramai tidak menyedari bahawa kuasa undi yang dimiliki pengundi yang bakal menentukan jatuh bangunnya seseorang calon mahupun parti dalam sesuatu pilihan raya.

Benarlah kata pemimpin komuniti terkenal, Tan Sri Robert Phang dalam satu temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Dalam temuramah itu, Phang menjelaskan, moraliti adalah satu asas penting dan merupakan syarat dalam sesebuah kepemimpinan politik. Katanya lagi, apa yang sedang membelenggu MCA ketika ini boleh memberi kesan yang amat serius kepada BN sekiranya ia tidak diurus dengan baik.

Berani berubah

Sekiranya apa yang dinyatakan oleh Jamhariah Jaafar dalam artikelnya menjadi kenyataan dan dalam hal ini merujuk kepada kemungkinan ramai ahli akan keluar parti, biarlah ia berlaku. Parti MCA tidak harus diugut oleh mana-mana ahli parti.

Tidak ada mana-mana ahli malah pemimpin MCA sekali pun yang melebihi parti. Segala ugutan ataupun taktik keras sedemikian tidak akan mengoyahkan tekad kepemimpinan parti untuk mengembalikan maruah MCA di mata masyarakat Cina.

Inilah juga kesempatan terbaik untuk pucuk kepemimpinan parti mengetahui dengan mata sendiri siapakah sebenarnya ahli-ahli parti yang benar-benar setia kepada parti, baik semasa waktu sukar mahupun senang.

Usahlah kita bermegah dengan jumlah ahli parti yang banyak tetapi dari aspek dalamannya, ia tidak memiliki apa-apa substance. Kuantiti tidak melambangkan apa-apa. Sebaliknya, parti tersebut akan hanya dihormati dan digeruni jika ia memiliki ahli-ahli yang berkualiti bukan sahaja dari aspek pemikirannya, tingkah laku bahkan juga mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak tanpa dipengaruhi emosi.

~Rakyat Malaysia

*Definisi ’turning point’:- Landmark: an event marking a unique or important historical change of course or one on which important developments depend
wordnetweb.princeton.edu/perl/webwn

No comments

Powered by Blogger.