Kebebasan bersuara di dalam Pakatan Rakyat?

Saya amat terkejut apabila ada pihak yang begitu marah apabila Exco Selangor Dato' Hasan Ali membuat teguran tentang Selcat. Saya tidak ingin menyenaraikan nama mereka yang marah atau secara terperinci teguran-teguran itu kerana ianya tersebar luas di dalam akhbar-akhbar. Tetapi saya terkejut kerana Pakatan Rakyat mendokong kebebasan bersuara tetapi ada pemimpin-pemimpinnya yang cuba menyekat Dato' Hasan dari bersuara. Kenapa kita menjadi cakap tidak serupa bikin?

Kita kerap mengkritik UMNO dan Barisan Nasional kerana tidak memberi hak kebebasan bersuara atau menegur kepada pemimpin atau ahli-ahlinya. Tetapi sekarang nampaknya kita sudah hendak menjadi seperti UMNO dan Barisan Nasional kerana kita juga hendak mengamalkan polisi sekat-menyekat ini. Sesiapa yang bersuara akan dicap sebagai hendak menubuhkan kerajaan perpaduan atau bercita-cita hendak menjadi Menteri Besar.

Juga saya terkejut di dalam isu Selcat ada yang menganggap bahawa ianya sudah "perfect". Ingin saya ingatkan di sini bahawa hanya Allah SWT sahaja yang "perfect". Dalam satu Muktamar Agung PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pernah di dalam ucapan penangguhan berkata bahawa terdapat pepatah Arab yang bermaksud, "Apabila kita merasakan sesuatu itu sudah lengkap, maka tunggulah saat kehancuran".

Kita tidak boleh menjadi angkuh sehingga merasakan sesuatu yang kita buat itu tidak ada cacat celanya. Kerana kita akan jadi seperti UMNO dan Barisan Nasional jika berpendapat begitu.

Kerajaan Negeri Selangor pada November 2008 telah menurunkan sewa rumah PPR bagi golongan tertentu. Tetapi kita terus mendapat bantahan dan tuntutan agar sewa untuk lebih ramai golongan diturunkan. Kerajaan Negeri tidak menutup telinga kami terus mendengar kepada rakyat. Akhirnya bulan lepas lebih ramai golongan telah diberikan penurunan sewa.

Berbalik kepada Dato' Hasan, saya menyokong penuh kepada hak beliau untuk memberi pandangan. Saya berdiri teguh di belakang kempimpinan beliau di negeri Selangor. Begitu juga dengan beratus-ribu ahli PAS yang telah memberikan undi kepada bukan sahaja PAS tetapi PKR dan DAP. Mereka ada di mana-mana, dari Sg. Pinang ke Taman Medan, dari Kajang ke Bukit Melawati.

http://iskandar56100.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.