[Fikrah Islamiah] Sultan Selangor tegur siapa? - Satu analisis

6 Muharram 1431H
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin tegur siapa semasa titah baginda pada hari keputeraannya baru-baru ini? Berdasarkan pembacaan surat khabar arus perdana teguran sultan Selangor itu ditujukan kepada sikap Menteri Besar Selangor dan pemimpin PR yang suka membesarkan isu politik daripada memikirkan pembangunan negeri. Begitu juga seperti yang dipaparkan dalam berita utama televisyen.

Membaca laporan Malaysiakini dan meneliti teks ucapan baginda, didapati terdapat beberapa mesej yang hendak disampaikan oleh baginda. Jelasnya teguran itu tidaklah bermaksud begitu semata-mata. Baginda tegur parti pemerintah, tegur parti pembangkang Selangor dan rakyat keseluruhannya.
Kepada kerajaan Selangor, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.

"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal-soal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titahnya.
Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi.

Kepada pembangkang baginda mahu mereka hentikan sikap mencari kesalahan dan kelemahan pemberintah.

"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (dalam pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.
Kepada rakyat Selangor baginda mahu mereka rebut peluang yang disediakan kerajaan. Rakyat sepatutnya berkerja dengan sungguh untuk kejayaan sendiri dan kerajaan.

No comments

Powered by Blogger.