'Raja Nazrin arah guna senarai asal'..Terima Kasih Umno Atas Jasa Kepada Agama

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Raja Dr Nazrin juga merupakan yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak.

Berikutan itu, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama (PTA) daerah berkenaan supaya mengeluarkan surat pelantikan secepat mungkin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yeop Junior berkata beliau berharap majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut dapat disempurnakan sebelum akhir tahun ini.

Menurutnya, senarai yang dipersetujui itu adalah bertarikh 2 Ogos 2009.

"Senarai yang dipinda itu tidak diterima," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini isu berkenaan.

Sebelum ini, majlis penyerahan watikah pelantikan itu ditangguhkan ekoran timbulnya dakwaan bahawa Jabatan Agama Islam Perak telah menukar senarai jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu dengan memasukkan nama penyokong PAS.

Perkara itu dibangkitkan oleh ADUN Slim Datuk Khusairi Abdul Talib minggu lalu yang mendakwa perbuatan itu 'tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Dr Nazrin'.

Beliau mendakwa antara masjid dalam mukim Slim yang dikesan terlibat adalah Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau, manakala dalam mukim Hulu Bernam pula, ia melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

No comments

Powered by Blogger.