Hampir 50 anjur tunjuk perasaan disaksikan 500 penonton di Kota Darul Naim

Hampir 50 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan yang juga penyokong Umno mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim pagi ini dengan disaksikan hampir 500 penonton bagi memprotes tindakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti.

Perhimpunan ini dipimpin oleh Timbalan Ketua Umno Pasir Mas, Che Johan Che Pa.

Kumpulan itu mula tiba di pusat pentadbiran kerajaan negeri itu kira-kira pukul 10 pagi dan bersurai lebih satu jam kemudian selepas selesai menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Haron.

Sebelum itu, pihak polis mula berkawal di depan pusat pentadbiran kerajaan Kelantan seawal pukul 9 pagi sebagai persiapan menghadapi perhimpunan membantah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam satu mesej bersebaran melalui SMS menggesa ahli-ahli Umno berhimpun supaya menyokong protes itu dan malam tadi, Pemuda PAS Kelantan membuat satu laporan polis bagi memaklumkan rancangan demo ini.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Pemuda Umno Kelantan menegaskan protes itu yang juga bertujuan mendesak Nik Aziz meletakkan jawatan adalah inisiatif NGO tersebut.

Difahamkan, para pemimpin PAS menuduh Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali sebagai dalang di sebalik protes itu.

Bagaimanapun, MP bebas yang bertanding di bawah tiket parti Islam itu tahun lalu menafikannya.

Nik Aziz dalam khutbah Aidiladha Jumaat lalu menggesa para jemaah supaya berdoa agar hati Najib dibuka untuk membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.

Beliau juga berkata akan mendoakan kecelakaan Najib dan Umno sekiranya royalti minyak itu tidak dibayar.

Doa kontroversi Nik Aziz itu telah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menekan Mursyidul Am PAS itu.

Hari ini akhbar parti Melayu itu, Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang menggesa Nik Aziz supaya berundur kerana telah menimbulkan kegelisahan kepada umat Islam.

siasah

No comments

Powered by Blogger.