Budaya Ilmu Kini - Jahil Dalam Disiplin Ilmu

Soalan yang perlu dijawab :

1. Pernahkah anda melihat ada pelajar yang mengatakan tidak perlu ikut mazhab tetapi ambil sahaja al Quran dan Hadith Sahih? (sedangkan yang berkata ini jahil di dalam ilmu hadith yang berkaitan dengan hadith hasan, hadith hasan sahih, hadith dhoief - bahkan menyamakan hadith dhoief dengan hadith maudhuk)

2. Pernahkah melihat hujjah yang mengatakan ulamak pun ada buat silap, bukan maksum (sedangkan dirinya pun lagi banyaknya salah kerana tidak mempunyai ilmu seperti ulamak yang dikatanya silap dan bukan maksum tersebut) ?.

3. Pernahkah melihat di dalam blog tertentu yang ada novel-novel yang diisikan dengan pengisian cerita yang menukilkan tentang kalam ulamak agar jangan bertaqlid, mazhabku adalah hadith sahih (sedangkan kalam ulamak mujtahid ini ada disyarahkan dan ditujukan kepada golongan tertentu iaitu mereka yang bertaraf mujtahid - mereka yang mampu untuk mengistinbath (mengeluarkan) hukum sahaja).

4. Pernahkah anda melihat atau membaca mereka yang kuat mengatakan amalan-amalan tertentu (yang telah dipersetujui ulamak ia adalah khilaf (perselisihan pendapat antara ulamak mujtahid)) sebagai bid'ah sesat?

*************************************************************************************

Ketahuilah bahawa mereka yang terlibat di atas ada antara mereka adalah mereka yang tidak mahu belajar adab di dalam disiplin ilmu. Gelojoh dan terburu-buru untuk menjadi seorang pakar hukum tanpa menyelidik dan mengkaji pendapat dan hujjah ulamak muktabar yang lain.

Saya teringat kisah imam syafi'e (mujtahid mutlaq pengasas mazhab Syafie) bagaimana beliau sedari kecil belajar mengenai al Quran sehingga dapat menghafaznya pada umurnya 9 tahun. Kemudian belajar hadith dengan cara mendengar dan bertemu sendiri dengan guru-guru hadith, dan beliau mencatatnya di atas tulang, tembikar dan kulit binatang. Bahkan beliau juga mempelajari bahasa Arab yang asli dengan Kabilah Hudzail sehinggalah beliau mahir dalam bidang hadith, hafalan al Quran, bahkan dalam kesusasteraan bahasa Arab yang asli.

Menurut Dr Said Ramadhan al Buthi dalam bukunya - Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah mengenai pendidikan Imam Syafie :

'Tentang ilmu hadith, beliau belajar kepada Imam Sufyan bin Uyainah, seorang alim besar ahli hadith kota Mekah di masa itu. Adapun tentang ilmu al Quran, beliau belajar kepada Imam Ismail bin Qasthanthin, seorang alim besar ahli Quran di Kota Mekah pada masa itu. Selanjutnya, kepada para ulama lain di masjidil Haram. Beliau belajar berbagai ilmu pengetahuan agama. Ketika berumur 15 tahun, beliau telah menduduki kerusi mufti di Kota Mekah.'



Ketika umurnya 10 tahun, beliau sudah memahami kitab al Muwattha' karangan Imam Malik bin Anas (pengasas mazhab Maliki). Bahkan beliau juga mempertahankan mazhab Maliki.



Dan semasa beliau sudah mempunyai ilmu alat (ilmu asas yang menjadi keperluan untuk mengistinbath hukum) barulah beliau mengemukakan pendapatnya sendiri, serta mengomentari pendapat gurunya (imam Maliki) jika ada yang lemah. Tetapi tidak pula imam Syafie mengatakan ia sebagai bid'ah sesat!. Ini kerana akhlaq yang terbina di dalam diri seorang ulamak yang benar-benar takutkan ALlah untuk menjaga lisan, perilaku dari perbuatan yang tiada hak.



Begitulah - sehingga ramai murid imam syafie yang mengikuti terdiri dari ulamak-ulamak besar, bahkan ada di kalanganya adalah muhaddithin (ulamak hadith), mujtahid tarjih (ulamak yang mampu mengetahui dan menilai mana pendapat yang kuat dan lemah), mujtahid mazhab, mujtahid fatwa seperti Imam Bukhari, Imam Abu Bakar al Humaidi, Imam Ahmad bin Hanbal (pengasas mazhab Hanbali), Imam al Buwaithi, Imam Muhammad bin AbduLLah. Dan ramai lagi - anda boleh menyelusuri sendiri dari kitab Tabaqat Syafi'eyyah karangan al Subki.

SubhanaLLah - mereka ini semuanya belajar dengan disiplin ilmu yang ketat. Mempelajari semuanya dari asas bersama-sama dengan adab sebagai pelajar dan sehinggalah menjadi ulamak yang hebat. Barulah ada antara mereka yang mendirikan mazhab sendiri (setelah menjadi mujtahid mutlaq) dan ada yang terus untuk mengikuti mazhab syafie.

Hakikatnya kini, banyak kecelaruan yang timbul dengan adanya pelajar, golongan profesional yang belajar tanpa ada ilmu asas. Gelojoh hendak mempelajari ilmu yang lebih mendalam. Sehinggalah berani mengeluarkan fatwa dan pendapat sendiri berdasarkan kejahilan dan hawa nafsu sendiri kerana tidak belajar mengikut kaedah yang betul dan disiplin ilmu yang benar. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang timbul kepada orang awam (yang tidak mampu untuk menjadi ulamak mujtahid). Hingga timbullah pecah belah antara umat Islam.

ALlah memerintahkan bukan sahaja dalam urusan kepimpinan, bahkan juga dalam urusan agama untuk memberikan amanah kepada yang berhak dan berkelayakan.

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi :

Maksudnya Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".



Daripada Abu Hurairah dia berkata:


“Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat".

(Riwayat al Bukhari)

Berhati-hatilah wahai diri, perhatikan dari mana kamu mengambil urusan agama. Semoga dijauhkan dari pendustaan terhadap Allah dan RasulNya serta melakukan kezaliman terhadap ulamak dan umat Islam.

Sumber rujukan : Dr Said Ramadhan al Buthi, Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syarii'ata Al Islamiyyah, K.H AbduLlah Zakiy Al-Kaaf,Bahaya Bebas Mazhab Dalam Keagungan Syariat Islam.

Sumber : Http://JomFaham.Blogspot.Com

No comments

Powered by Blogger.