Kokus: Pendirian Ku Li waktu terdekat tapi ulangi hak Kelantan dinafi

Tengku Razaleigh Hamzah dijangka akan menyatakan pendirian sama ada menerima tawaran mengetuai kokus Parlimen mengenai pertikaian wang royalti minyak yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam waktu terdekat.


"Saya akan membincangkan respons saya kepada kokus yang disyorkan berhubung isu ini dalam tulisan saya akan datang," kata Pengasas Petronas ini dalam tulisan blognya yang dinantikan banyak pihak, awal pagi ini.

Bagaimanapun dalam tulisan kali ini Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan menekankan bahawa "hak di bawah Perlembagaan rakyat Kelantan telah dinafikan."

Penafian hak itu membawa implikasi melangkaui negeri Kelantan, kata beliau.

"Kerajaan (persekutuan) sudah menyatakan respons kepada tuntutan Kelantan untuk mendapatkan sebahagian keuntungan yang diperolehi daripada sumber-sumber petroleum yang dikeluarkan di luar pesisir oleh Petronas.

"Respons itu bertentangan dengan surat dan perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petroleum.

"Perjanjian ini dibuat dalam bahasa yang mudah, yang cukup untuk pelajar sekolah memahami, dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris," kata beliau.

Tengku Razaleigh menyatakan demikian lima hari selepas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa terserah pada kebijaksanaan beliau sama ada mahu mengetuai kokus yang dibentuk bagi membincangkan pertikaian royalti minyak khususnya kepada Kelantan.

Muhyiddin, Timbalan Presiden Umno, turut menyuarakan keyakinannya yang Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang akan membuat keputusan terbaik berhubung pelantikan itu.

"Saya merasakan beliau sudah lama berada dalam parti, jadi beliau tahu apa keputusan yang hendak dibuat," kata Muhyiddin mengulas kenyataan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum itu bahawa Tenggku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang telah bersetuju untuk menerima tawaran pelantikan tersebut.

Muhyiddin juga menggesa agar Tengku Razaleigh yang merupakan Pengasas Petronas dan bekas Naib Presiden Umno agar mempertimbangkan dengan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

Mengulas lanjut, penafian hak rakyat negeri Kelantan itu jelas Tengku Razaleigh telah menyumbang kepada empat implikasi utama, antaranya menyangkal perjanjian yang sama dimeterai oleh Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan menafikan hak-hak berperlembagaan masing-masing.

Malah kata beliau, tindakan kerajaan enggan mengiktiraf tanggungjawab kontraktual berhubung peranan Petronas menimbulkan persoalan berhubung status bayaran kepada negeri-negeri lain.

Seterusnya beliau juga mempersoalkan sekiranya Petronas tidak lagi mengiktiraf ikatan perundangan untuk membayar kepada negeri-negeri yang dimaksudkan di bawah akta berkenaan, sama ada perjanjian sedemikian masih sah ataupun sebaliknya.

"Saya membantu menggubal dan merundingkan Akta Pembangunan Petroleum. Sebagai Pengasas Petronas, saya menandatangani perjanjian yang berasingan dan serupa berkaitan pembayaran dengan setiap Menteri Besar.

"Saya perlu menekankan bahawa Petronas seharusnya terikat dengannya dan kerajaan persekutuan tidak wajar campur tangan dalam tindakan mereka untuk memenuhi (peruntukan itu)," kata Tengku Razaleigh.

No comments

Powered by Blogger.