Arak tidak dijual secara terbuka di Kedah

ALOR SETAR - Penjualan arak secara terbuka di kedai serbaneka dan runcit tidak berlaku di negeri ini berikutan dipantau ketat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pekerja Ladang dan Perpaduan, Lim Soo Nee berkata, sehingga kini tiada laporan berhubung penjualan arak secara terbuka dilaporkan berleluasa di negeri ini, termasuk di kedai 7 Eleven, seperti yang didakwa sebelum ini.

“Hanya penjualan bir sahaja yang dibenarkan. Oleh itu, jangan salah faham apa yang dimaksudkan dengan bir dan arak. Ianya tertakluk kepada bidang kuasa KPDNKK dan Pihak Berkuasa Tempatan dan bukannya peraturan Eksais,” katanya.

Soo Nee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim berkata, pihaknya memandang serius isu ini kerana berkait dengan sensitiviti masyarakat setempat, dan pemantauan dibuat setiap masa di kedai-kedai terbabit.

“Jabatan Agama Islam Kedah boleh membuat aduan sekiranya ada peniaga yang menjual minuman keras ini dan jika membabitkan umat Islam, ia di bawah bidang kuasa pejabat agama. Kita akan bekerjasama untuk menangani isu ini supaya adil kepada orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.