PAS Kelantan pertahankan Tok Guru

KOTA BHARU, 26 Nov. ; PAS Kelantan akan mempertahankan jawatan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan walaupun pelbagai tekanan yang dihadapinya susulan kemelut yang melanda kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Zaki Ibrahim berkata, tiada alasan untuk Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan memandangkan beliau memiliki pengalaman yang luas setelah mentadbir 19 tahun negeri ini.

”Kita yakin dengan kebolehan dan kesihatan Tok Guru. Beliau mampu untuk mentadbir parti, kita pertahankan Tok Guru selaku Mursyidul Am, Pesuruhjaya PAS Negeri dan Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas hadir di mesyuarat Dewan Harian PAS Negeri di sini kelmarin.
Zaki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yakin kemelut yang melanda pentadbiran negeri hari ini akan dapat diselesaikan dengan baik oleh Nik Abdul Aziz.

Dalam pada itu Zaki turut menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa PAS Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menasihati Nik Abdul Aziz sehingga terpaksa campur tangan dari PAS Pusat.

Katanya, tindakan itu adalah betul memandangkan pimpinan PAS mempunyai hak untuk menasihati pentadbiran negeri yang dikuasai oleh parti tersebut.

“Parti yang menguasai kerajaan, soal apa sahaja berlaku negeri, PAS Pusat bagi pandangan, malah Tok Guru juga memberi pandangan kepada pimpinan pusat.

“Kita kerja secara kolektif, maknanya pandangan dari semua peringkat diambil kira, ini termasuk dari media, ‘blogger’ dan musuhnya sendiri, ini kelebihan Tok Guru,” katanya.SH

No comments

Powered by Blogger.