Ramai Sokong Tindakan Tok Guru

Pas terima baik tindakan Tok Guru

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyokong tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan menantunya, Ir Mohd Ariffahmi Abd Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Pas Pusat sebelum ini telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Nik Abdul Aziz berhubung isu tersebut dan menyatakan pendirian bahawa Ariffahmi perlu meletak jawatan.

"Sememangnya itu pendirian Pas Pusat dalam beberapa siri pertemuan dengan Nik Aziz yang diketuai oleh Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri.

"Nik Aziz sendiri bersetuju dengan gesaan dan pendapat yang diberikan kepadanya dan beliau telah pun mengeluarkan arahan kepada Ariffahmi untuk meletak jawatan dan menantunya itu telah menyatakan persetujuan,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam.

Ketika ditanya adakah isu itu berkait rapat dengan laporan sebuah akhbar bahawa Exco Kanan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa meletak jawatan, beliau berkata, ia langsung tidak mempunyai sebarang perkaitan.

Bukti integriti MB Kelantan yang tinggi

KOTA BHARU - Wakil delegasi Pas Pusat, Sallahuddin Ayub menyifatkan keputusan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan Pas Pusat dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan dirinya demi perjuangan Islam dan parti.

“Tok guru menunjukkan sikap cukup tinggi nilai moralnya yang mengutamakan jemaah. Saya cukup sanjung tinggi integriti yang ditunjukkan tok guru (Nik Aziz) ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, semalam.

Beliau berkata, sememangnya dalam pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jelas menyatakan peruntukan bahawa menantu atau anggota keluarga tidak boleh dilantik.

Salahuddin turut menafikan bahawa isu berkenaan merupakan isu yang besar di dalam Pas atau Kerajaan Negeri.

“Ini tak ada kaitan dengan masalah dalaman yang berlaku di Kelantan pada hari ini. Tok Guru buktikan beliau bercakap dan buat apa yang dia cakap. Ini satu integriti yang ditunjukkan seorang Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan isu yang membabitkan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan meletak jawatan dan parti dan Kerajaan Negeri.

“Itu tak benar sama sekali. Sabtu lepas kami bermesyuarat di Kuala Lumpur. Beliau hadir dalam mesyuarat Pas Pusat.

“Tak timbul pun soal Datuk Husam letak jawatan. Jadi saya tak nampak ada satu kemelut besar di Kelantan,” katanya. -SH

No comments

Powered by Blogger.