Eidul-Adha dan cabaran terhadap ummah

Oleh ABDUL SHUKUR HARUN

Ketika ini jamaah haji sedang berkumpul untuk wukuf di Arafah, puncak dari pekerjaan ibadah haji. Selepas selesai menunaikan segala rukun dan sunatnya, merekapun akan pulang ke tanah air masing-masing, disambut gembira oleh keluarga dan sanak saudara.

Mudah-mudahan saja mereka mendapat haji mabrur, yang diterima dengan segala keredhaan Allah s.w.t. Itulah harapan setiap para hujjaj. Hendaknya mereka pulang tidak sekedar membawa gelar haji dan hajah, air zam-zam, sejadah, kurma dan tasbih, tetapi juga membawa pulang hati yang jernih, yang berbekalkan kesedaran mendalam mengenai kekuasaan Allah s.w.t. Lebih dari itu kesedaran akan nasib umat di pelbagai belahan dunia ini

Mudah-mudahan saja perhimpunan musim haji ini tidak sekedar ritual peribadi, atau berbentuk ibadah khusus peribadi, tetapi ia menjadi muktamar tahunan ummah sedunia yang memikirkan masalah dan nasib mereka sepeninggalan Nabi s.a.w. lebih dari 1,400 tahun lalu. Mudah-mudahan saja ketika merenung dan mendaki Jebal-Rahmah di tengah jantung Arafah itu, para hujjaj mengingati kembali pesan-pesan Rasulullah s.a.w. dalam khutbah terakhir dan selamat tinggalnya, yang mengingatkan umat mengenai kewajipan mereka mempertahankan agama Tauhid ini dengan segala yang ada pada mereka.

Memang wajar umat ini diperingatkan selalu mengenai pesan-pesan Rasulullah s.a.w. itu, lebih-lebih lagi di zaman kini, di mana mereka menghadapi cabaran dari segenap penjuru yang amat berat, sedangkan mereka sangat lemah untuk menghadapi cabaran seberat itu.

Di sinilah saya mengingat kembali pandangan ulama tersohor dari benua kecil India, Maulana Abol Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya ‘Derita Dunia Akibat Kemunduran Umat’, dengan mengingatkan:

“Fenomena keterbelakangan umat Islam ini tidak terjadi di dalam sehari, melainkan selama beberapa kurun waktu secara perlahan-lahan. Oleh sebab itu dunia tidak memberikan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap fenomena besar itu kerana pada hakikatnya mereka tidak memiliki barometer yang meyakinkan bagi kebahagian dan penderitaan umat manusia.”

Beliau seterusnya berkata, keterbelakangan umat Islam, runtuhnya kedaulatan negara Muslim dan terburainya kekuatan umat Islam – sebagai umat yang membawa misi para nabi dan rasul - dan kedudukan umat Islam sebagai anggota tubuh yang sihat, bukan semata-mata keterbelakangan sebuah kelompok bangsa, tetapi bererti berakhirnya misi yang bertindak sebagai roh bagi hidup matinya umat manusia.

Keterbelakanggan umat Islam juga, kata An-Nadawi, bermakna runtuhnya pilar agama dan kebangkitan kehidupan insan di dunia. Seterusnya beliau bertanya pula kemungkinan apa gerangan yang akan terjadi andainya umat Islam bangkit semula dari tidur lena mereka dan memimpin semula kehidupan manusia di dunia ini.

Abol Hasan Ali An-Nadawi seterusnya mengajak umat, termasuk para jamaah haji sedunia, seperti yang diutarakannya dalam bukunya itu, supaya bersama memikirkan hal ini, sama ada sebelum atau sesudah mereka menunaikan fardhu haji di Tanah Suci.

Setiap tahun berjuta-juta umat Islam telah menunaikan fardhu haji di Tanah Suci di mana jumlahnya bertambah dan terus bertambah setiap tahun. Ada statistik menunjukkan jumlah umat Islam seluruh dunia bertambah antara 15 hingga 20 peratus tiap tahun, melebihi kadar pertumbuhan orang bukan Islam.

Dari aspek jumlah ini memang sangat mengembirakan, terutamanya apabila didapati jumlah umat Islam di Eropah dan Amerika bertambah dengan pantasnya dibandingkan dengan penduduk asal benua itu. Namun bagaimana dengan qualiti keseluruhan umat Islam yang sebanyak itu. Sudahkah kita lupa akan ingatan Nabi s.a.w. bahawa “Jumlah umat ini begitu ramai, tetapi ia seperti buih”. Ia sudah tentu mudah beterbangan dan hilang. Tentu sekali benar hadis Rasulullah s.a.w. ini.

Di negara ini sendiri, jumlah umat Islam terus bertambah dengan banyaknya dan ini memang membanggakan. Namun masalah yang menyerkupnya semakin komplek dan mencemaskan dengan pelbagai cabaran berat dihadapinya. Mereka terperangkap dengan pelbagai dogma, kejahilan, kemiskinan, kejumudan, keangkuhan, keruntuhan akhlak dan segalanya.

Diikuti pula dengan masalah sama ada hendak mempertahankan kaumnya atau agamanya, atau mempertahankan kedua-duanya sekali. Pada hal ajaran Islam telah menekankan bahawa Islam mampu menyelamatkan segala-galanya, termasuk suku bangsa dan kaum. Di tengah-tengah itu ada juga masih dibelenggu dengan semangat perkauman yang sama sekali tidak menjamin keselamatan mereka.

Kita yakin para hujjaj kita yang sedang berada di Arafah sambil merenung Jebal-Rahmah yang bersejarah itu akan sentiasa terkenang akan pesan Nabi s.a.w. supaya kehidupan mereka jangan terpisah dari panduan Al-Quran dan Sunnah jika mereka mahu selamat di dunia dan akhirat. Para ulama pun, pada setiap kesempatan, tidak putus-putusnya mengingatkan ini.

Al-Haramain dengan segala isinya adalah manifestasi keunggulan Islam yang telah diperjuangkan oleh generasi pertama umat ini pimpinan Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat setia, pelbagai keturunan dan warna kulit. Bagaimana pengorbanan para sahabat itu yang berakhir dengan syahid di medan Badr, Uhud, Khandak, Tabuk dan pelbagai medan perang lagi, semata-mata untuk menegakkan risalah Tauhid yang agung ini.

Para hujjah sewajarnya merenung semuanya ini untuk mengambil pengertian bahawa demikianlah sukarnya perjuangan menegakkan Islam yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Justru sewajarnya setiap umat Islam berkewajipan melindungi dan mempertahankan Islam ini semurni-murninya.

Tidak syak lagi, cabaran yang dihadapi oleh generasi pertama Islam itu sebanyak sedikit berbeza dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam masa kini. Namun apapun bentuk cabaran ia adalah manifestasi yang menguji ketahanan akidah umat ini.

Kepada para hujjaj yang akan berangkat pulang ke tanah air tidak lama lagi, mari kita mengucapkan tahniah dan rasa syukur kepada Ilahi kerana mereka telah menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.

Kewajipan itu tidak berhenti di situ saja, tetapi berterusan untuk membela agama ini.

No comments

Powered by Blogger.