Tok Guru batal haji dan Ariffahmi letak jawatan: PAS jauh bermaruah dari UMNO/BN

Isu tajaan haji kepada Tok Guru Nik Aziz dan kemudian berkaitan pula dengan isu PKMB Kelantan menghiasi topik politik semasa di Kelantan. Sekonyong-konyong pula Utusan Meloya meracau lalu dikatakan Husam akan letak jawatan.

Tok Guru jujur ketika memberitahu tentang tajaan haji. Tetapi Tok Guru kena ingat bahawa beliau sekarang bukan sahaja sebagai Tok Guru tetapi MB Kelantan.

Seorang Tok Guru boleh terima tajaan haji, terutama dari anak murid yang mahu mencari berkat dari Tok Gurunya. Tok Guru ikhlas dan anak murid juga mungkin ikhlas. Itu situasi biasa.

Tetapi dalam konteks Tok Guru Nik Aziz, ia berbeza. Persepsi berbeza. Implikasi juga berbeza. Dan tentunya SPRM -yang seperti kata Tok Guru Presiden PAS- cukup ‘cakna’ terhadap pemimpin pembangkang, akan segera membuka kertas siasatan sebelum sempat Tok Guru memakai pakaian ihram, sementara pemimpin BN, sudah punya mahligai mewah bertahun pun masih selesa duduk tanpa risaukan kertas siasatan akan dibuka. (Kalau SPRM terasa, maaflah tetapi anggaplah ayat ini sebagai cabaran untuk sebuah ketelusan)

Di zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah, beliau melantik beberapa orang sahabat menjadi gabenor. Beliau pernah menegur sahabat-sahabat yang menjadi gabenor itu ketika mereka membesarkan rumah. Mesejnya jelas. Jangan ambil kesempatan dari kedudukan sebagai gabenor untuk sesuatu manfaat peribadi.

Menerima tajaan haji-dalam konteks Tok Guru Nik Aziz-tidak boleh dianggap rasuah menurut perspektif Islam kerana tiada bentuk ‘ihqaq al-batil wa ibtal al-haq’ (membenarkan yang salah dan membatalkan yang salah) atau merampas hak orang lain. Ia boleh dianggap hadiah. Kerana itu Tok Guru boleh sahaja menerima tajaan itu pada asalnya. Bayangkan hampir 20 tahun memerintah Kelantan, tidak ada kes rasuah MB dan EXCO. Kalau UMNO/BN memerintah untuk sepenggal sahaja, saya yakin kes cukup bertimbun. Maka tiba-tiba Tok Guru sengaja mendedahkan dirinya kepada rasuah haji? I don’t think so…

Tetapi dalam Akta Pencegahan Rasuah di Malaysia, ia mungkin boleh diangap rasuah atau mempunyai unsur-unsur rasuah. Baru unsur-unsur rasuah, bukan rasuah lagi. Tapi Tok Guru Nik Aziz yang sensitif benar dengan perkataan RASUAH, terus membatalkan pemergiannya ke Mekah walaupun keinginan menjadi tetamu Allah itu cukup tinggi. Lagipun ia akan berkait dengan nama parti PAS, gelaran Mursyidul-Am dan kerajaan Kelantan. Semuanya lebih besar dari hanya semata-mata mendapat pahala haji sunat.

Dalam kes Ariffahmi, ia baru disiasat. Belum terbukti apa-apa. Tapi fitnah bukanlah perkara mudah untuk ditepis. Di zaman yang semua info di hujung jari, apa sahaja boleh ditulis. Pandangan peribadi saya, semua pihak mesti diberi peluang membela diri, samada Tok Guru, menantunya atau Syed Azidi.

Tok Guru dan Kelantan ibarat kain putih. Setitik tompok hitam sudah jelas kelihatan, walaupun tompok itu hanya percikan dakwat cair mudah hilang. Peranan Presiden, Timbalan Mursyidul-Am dan Naib Presiden cukup dihargai. Percikan hitam itu mesti segera dibasuh sebelum ia terus melekat pada kain putih itu, atau tompokan-tompokan lain pula yang hinggap.

Kesediaan Tok Guru membatalkan haji dan menasihatkan menantunya meletakkan jawatan, kesediaan Ariffahmi berundur dan peranan kepimpinan tertinggi PAS memberikan pandangan kepada Mursyidul-Am adalah bukti besar tentang PAS yang jauh lebih bermaruah dari UMNO/BN. Tidakkah ini salah satu point penting layaknya PAS menerajui perubahan?


http://www.niknasri.com/?p=1675#more-1675

No comments

Powered by Blogger.