Ajar Sahaja Pembohong!

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa telah memfailkan saman kepada NST Malaysia dan juga Berita Harian Singapura kerana memfitnah beliau.

Dalam muka hadapan akhbar berkenaan baru baru ini, Husam dilaporkan akan meletak jawatannya sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya hari ni melalui peguam Asri & Associate telah menghantar ‘Letter Of Demand’ kepada NST untuk dia minta maaf ‘front page’ dalam masa tujuh hari, termasuk berita harian di Singapura," katanya.

Husam memberitahu, beliau menerima panggilan dari pelabur dari Singapura, Indonesia dan Mekah kerana telah membaca NST dan Mingguan Malaysia.

“Dalam Letter Of Demand ni, empat lima ayat yang digunakan tu ternyata fitnah,” tegasnya.

Sambungnya lagi, pada pagi hari Selasa beliau tidak berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana berada di parlimen.

“Pada hari Rabu pula ada mesyuarat exco dan Tok Guru keluar lebih awal,” katanya lagi.

Beliau menambah, pada hari Khamis, beliau merasa kurang selesa pada bahagian kaki dan telah mendapatkan rawatan di hospital.

“Doktor telah menasihatkan saya supaya berehat selama lima hari.

“Saya hanya boleh masuk hospital pada hari Isnin kerana hari Sabtu saya seminar di Kuala Lumpur dan malam Ahad saya ada mesyuarat PAS Pusat yang saya hadir ke dua-dua program tersebut,” ujarnya lagi.

Pada hari Isnin, beliau telah bercadang untuk masuk ke hospital untuk berehat.

“Tiba-tiba pada hari Ahad telah keluar cerita dalam Mingguan Malaysia,kononya saya telah diarahkan bercuti kerana dalam proses hendak dipecat dan mengugut untuk letak jawatan. Saya rasa amat dukacitalah,” katanya lagi.

Husam ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke atas pelajar miskin, Siti Zamanira Mat Zaib, pelajar tahun tiga jurusan Fiqh dan Fatwa, Falkulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, di Kampung Bechah Keranji, Melor.

Sebuah rumah baru akan dibina untuk keluarga pelajar berkenaan berharga RM40,000 yang disumbangkan oleh seorang penderma.

No comments

Powered by Blogger.