Membantah Penghantaran Mahasiswa IPT Selangor ke BTN

Saya turut serta bersama rakan-rakan ADUN muda Pakatan Rakyat Selangor Selasa lalu menandatangani surat kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor meminta Kerajaan Negeri menghentikan penghantaran IPT-IPT milik Kerajaan Selangor / anak-anak syarikat Kerajaan Selangor ke Program Biro Tatanegara anjuran Jabatan Perdana Menteri.

ADUN-ADUN lain yang menandatangani surat tersebut adalah YB Amirudin Shari (Keadilan - Batu Caves), YB Gan Pei Nei (Keadilan - Rawang), YB Hannah Yeoh (DAP - Subang Jaya) dan YB Jenice Lee (DAP - Teratai).

IPT-IPT terbabit adalah Universiti Industri Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Kolej INPENS.

Tujuan kami menuntut Kerajaan Negeri bertindak demikian adalah kerana sebahagian besar pengisian BTN bercorak perkauman dan kepartian, bukannya kenegaraan.

Dalam sidang media yang kami adakan bagi mengumumkan penghantaran surat tersebut, saya turut menceritakan pengalaman saya yang pernah mengikuti BTN sebagai seorang mahasiswa. Isu yang ditekankan adalah isu ketuanan Melayu, dan menganggap pihak pembangkang sebagai mengancam keselamatan negara: Anwar ejen Barat, DAP parti anti Melayu dan PAS parti ajaran sesat.

Sesetengah propaganda yang dilaungkan adalah terlalu kasar dan cetek sehingga mahasiswa sendiri jelek dengannya. Namun ada pandangan yang dilontarkan secara lembut mempengaruhi pandangan mahasiswa.

Saya sendiri diminta membaca kuliah subuh, bukannya dengan ucapan saya sendiri tetapi teks lengkap yang disediakan BTN, sama ada ISA Halal Dari Segi Islam ataupun Malaysia Sebuah Negara Islam.

Beberapa rakan mahasiswa di IPTA memaklumkan nama saya sendiri tersenarai di BTN sebagai ejen pembangkang!

Seorang doktor pelatih di hospital kerajaan dan dipaksa mengikuti program BTN menceritakan pengalamannya di sini dan sini.

Kalau ya nak sebarkan dakyah UMNO, anjurkan forum ilmiah. Berikan ruang peserta menyoal, mengkritik dan melontarkan pandangan mereka. Lebih baik anjurkan debat atau muzakarah dengan pelbagai pihak, termasuk pihak NGO dan Pakatan Rakyat. Strategi kolot begini tidak relevan dalam zaman Internet.

Tak ada gunanya ada Batik 1Malaysia, Pasukan Formula 1 1Malaysia, kalau politik kolot pecah dan perintah terus bermaharajalela!


http://www.niknazmi.com/wordpress/

No comments

Powered by Blogger.