Nota Buat YB Dato' Seri Anwar Ibrahim

"
Jazakallahu Khairan Kathira

Saudara Anwar Ibrahim yang dikasihi, saya membaca berpuluh blog setiap hari baik yang menyebelahi Pakatan Rakyat maupun yang menyerang, menghentam, mencaci dan mencerca kita. Saya pasrah dan redha dengan segala hemburan kemarahan beberapa penulis blog pro Pakatan Rakyat di atas insiden yang mereka rasakan telah menghiris lumat semangat serta dukungan mereka terhadap perjuangan membantu inspirasi pembentukkan kerajaan Pakatan Rakyat.


Saya yakin saudara amat maklum apa yang berlaku pada malam 14 Disember 2009 di Dewan Rakyat yang mulia. Soal samada terkuburnya kerajaan Barisan Nasional atau tidak bukan itu yang menjadi persoalan saya kerana saya yakin tidak semudah itu untuk membubarkan parlimen dan mengadakan satu pilihanraya umum.

Perkara yang menjadi kemusykilan saya adalah ketidakhadiran beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat, PKR khasnya pada ketika kita benar-benarnya memerlukan mereka.

Saya kerap mendengar rengusan dan keluhan calon-calon pilihanraya semasa musim pilihanraya apabila ada jentera parti yang tidak hadir untuk sessi-sessi penerangan atau tugasan yang diamanahkan. Yang merengus dan mengeluh adalah calon atau bakal wakil rakyat. Manakala yang direngus adalah petugas parti yang mana ramai diantara mereka yang berkhidmat secara sukarela sebagai menzahirkan sokongan ikhlas kepada sebuah perjuangan! Perjuangan menegakkan keadilan dengan membantu memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat.

Kali ini, oh ya! bukan hanya baru sekali ini rakyat merengus dan mengeluh malah marah dan memberontak di atas kealpaan beberapa Ahli Parlimen yang gagal hadir dalam sessi parlimen pada malam tersebut. Saya pautkan beberapa blog yang menzahirkan kemarahan mereka sebagai rujukan saudara. Di sini. Di sini. Di sini.

Saudara Anwar Ibrahim yang dikasihi, demi kefahaman serta penilaian semua yang mendokong perjuangan murni Pakatan Rakyat, saya memohon dan menuntut satu penjelasan jitu daripada saudara terhadap insiden berkenaan. Kegagalan saudara dalam memberi penjelasan ini saya yakin bukan sokongan terhadap Barisan Nasional yang merundum tetapi keyakinan, semangat dan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang bakal merundum.

Rakyat telah beri sokongan.
Penyokong telah banyak berkorban.
Malangnya Wakil Rakyat masih berangan
Lupa diri dan lupa perjuangan.

Salaam Takzim. Salaam Perjuangan
Mohd Sofi Yassin
Kerajaan Rakyat."

No comments

Powered by Blogger.