Bakar gereja perbuatan jahil: Mujahid

PARIT BUNTAR - Membakar gereja adalah perbuatan orang jahil dan tidak mahu belajar agama, kata Ahli Parlimen, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, Islam tidak mengajar penganutnya memusnahkan rumah ibadat agama lain, sebaliknya menghormati hak serta kebebasan mereka dengan Nabi Muhammad SAW sendiri melarang umatnya daripada melakukan perkara biadab terhadap pihak lain.

Katanya, isu pembakaran gereja telah menjadi besar di negara ini dan pihak tidak bertanggungjawab melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang perlu dikenakan hukuman setimpal.

“Insiden untuk menimbulkan provokatif ini sebenarnya dirancang oleh pihak tertentu bagi melaga-lagakan antara agama dan kaum. Bagi menjelaskan keadaan sebenar satu pertemuan dialog dengan paderi serta jawatankuasa gereja di Parit Buntar telah diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar.

“Seramai 14 paderi serta jawatankuasa dari gereja di sekitar sini hadir membincangkan isu itu dan pertemuan lebih satu jam itu, saya membuat kenyataan bahawa Islam tidak mengajar penganutnya melakukan kerosakan rumah ibadat mana-mana agama,” katanya.

Beliau berkata, Islam mengajar supaya hormat menghormati kepada agama lain, bukan bertindak jahil melakukan jenayah dan itu adalah perbuatan orang yang tidak faham agama serta dipergunakan pihak tertentu.

Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat berkata, parti itu berpendirian sama dalam hal berkenaan iaitu tindakan biadab itu mesti dicegah segera.

Katanya, beliau bersama kakitangan Pusat Khidmat Parlimen dan Pas Kawasan Parit Buntar bersedia membantu agar tindakan provokatif itu tidak berlaku di kawasan berkenaan.

“Kami memberi jaminan Pusat Khidmat Parlimen dan Pas di sini, akan berada di hadapan membantu menjaga keselamatan bukan sahaja gereja, malah mana-mana rumah ibadat lain di kawasan ini supaya keharmonian hidup berlainan agama dan kaum dapat diteruskan dengan aman dan tenteram.

No comments

Powered by Blogger.