'Bottle-neck' masih berlaku di Hentian Puduraya

LanH14

SEJAK kunjungan mengejut Perdana Menteri, Najib Razak ke Hentian Puduraya awal tahun lalu, pelbagai pihak daripada Menteri Wilayah Persekutuan kepada Uda Holdings Sdn telah menyatakan hab pengangkutan daif itu akan bertukar wajah hebat.

Kerajaan dilaporkan meluluskan peruntukan sebanyak RM44 juta yang mana RM30 juta adalah untuk UDA membaik pulih bangunan dan RM14 juta lagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya.

Sebagai pengunjung harian Puduraya, penulis dapati memang betul hentian itu sudah diubah suai sana sini, tetapi malangnya pengguna bas masih mengalami masalah sama.

Pendeknya, perubahan hanyalah komestik, masalah yang dihadapi orang ramai masih sama.
Deretan panjang bas ekspres masih kedapatan kerana laluan memasuki platform Hentian Puduraya kekal satu.

Sekarang ini terdapat sebuah benteng memanjang menghalang bas daripada diparkir di tepi jalan menuju hentian itu, tetapi ia tidak cukup untuk membolehkan bas memasuki platform dengan cepat. Akibatnya penumpang dari destinasi jauh terpaksa turun dalam jarak yang jauh dari perhentian dan berjalan kaki.

Di bahagian bawah (platform) yang menempatkan bas, selain begitu sempit bagi pemandu memasukkan bas (terbanyak banyak tanda-tanda tiang dilanggar), keadaan di situ begitu tercemar dengan asap dan kotoran lain. Hanya mereka yang mengalaminya dapat merasakan azabnya. Nampaknya keadaan di kawasan ini sama saja, dulu, kini dan mungkin selamanya!

Seorang perancang, C W Liew pernah mencadangkan agar laluan bas memasuki Puduraya ditambah dua atau tiga dengan memotong sebahagian kecil cerun di bahagian tepi Jalan Pudu, tetapi ia tidak dilaksanakan; jadi sehingga sekarang semua pihak terpaksa berpuas hati dengan laluan tunggal yang hanya membolehkan sebuah bas memasuki platform pada satu-satu masa. Sama seperti dulu, keadaan ini menyumbangkan kepada kelewatan pengguna dan kemarahan pemandu disebabkan keadaan ‘bottle-neck’ itu.

Pemasangan pagar penghadang dan pemansuhan petak letak kereta sepanjang Jalan Pudu berhampiran Hentian Puduraya adalah langkah bagus bagi mengelakkan kenderaan berhenti dan menghalang orang ramai daripada melintas sesuka hati, tetapi akan bertambah lebih berkesan jika ditempatkan pengawas bertugas sepanjang masa kerana menjadi tabiat sesetengah orang melanggar peraturan.

Pertambahan kerusi dan ruang menunggu yang luas juga menggembirakan pengguna tetapi seperti biasa penguatkuasaan undang-undang adalah penting kerana terlalu ramai pengguna yang tetap degil menghisap rokok, meludah, membuang sampah sesuka hati dan sebagainya.

Pengunjung juga mendapati laluan ke stesen LRT Plaza Rakyat sudah dinaik taraf, tetapi susur gajah ke stesen itu tetap dalam keadaan daif walaupun sudah dicat baru. Pengguna perlu berhati-hati kerana ada lantai logam terutama berhampiran stesen LRT sudah lunyai, menunggu masa membaham mangsa.

Benar, adalah sukar membaik pulih keadaan di Hentian Puduraya yang nazak itu tetapi mengapa rakyat dinafikan hak untuk mendapat sedikit keselesaan kerana projek untuk kebajikan mereka seperti Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan tetap dibiarkan berkarat dan menjadi sarung nyamuk ibu kota?

Menurut Ahli Parlimen KEADIILAN Bandar Tun Razak, Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan seolah-olah tidak mahu menyegerakan projek kebajikan untuk rakyat awam kerana wujud unsur kronisme dalam projek Plaza Rakyat itu. Setelah 12 tahun terbengkalai, kini projek itu akan diambil alih Global Upline Sdn Bhd (GUSB) yang juga ada kaitan dengan Kumpulan Wembley Industries yang gagal melaksanakan projek itu.

Bercakap dalam sidang Parlimen, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor, mempersoalkan tujuan kerajaan memberikan projek terbengkalai kepada mereka yang tidak upaya meneruskannya.

Persoalannya mengapa sehingga kini Plaza Rakyat di sebelah Hentian Puduraya yang diuar-uarkan sebagai hab pengangkutan moden tidak siap-siap sekalipun sudah lebih sedekad dibangunkan? Apakah kepentingan kroni lebih utama daripada kebajikan rakyat?

Jika demikian apa guna ‘melolong’ slogan, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’?

Daripada platform stesen LRT, boleh dilihat dengan jelas kehodohan Plaza Rakyat yang dijanjikan untuk keselesaan rakyat itu. Struktur asasnya sudah hitam, kren berkarat, besi-besi yang juga berkarat bergelimpangan, manakala kawasan terbuka menjadi lompang menakung air, menampung ribuan nyamuk. Inilah agaknya ‘hadiah’ untuk rakyat biasa yang terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam.

Ohh, alangkah sedihnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua ini. Bukan sehari dua tetapi bertahun-tahun lamanya atau mungkin sepanjang hayat!

1 comment

School Of Tots said...

Saya juga pengguna harian Puduraya. Bagi saya Kerajaan kena ikhlas dalam menyelesaikan sesuatu masalah, bukan sekadar kosmetik atau lip service. Puduraya ini wujud sejak zaman batu lagi, dan sudah tidak sesuai di zaman ini. Kerana saiz bas sudah besar2 termasuklah bas double-decker. Laluan trafik yg sesak di kawasan itu dgn bas terpaksa membuat U-turn dan laluan masuk ke basement yg sempit, adalah masalah2 dan realiti yg wujud. Mengapa tidak solve the root problem ini. Bagi saya senang je:
1. Puduraya wajar di runtuhkan dan di gantikan dengan kompleks hentian baru yg moden.
2. Plaza Rakyat tu, kalau benarlah tujuannya menggantikan Kompleks Puduraya maka usahakan supaya siap segera. Ikhlas please.

Malu dan siksa kita sebagai pengguna. Malu juga kepada orang asing yg datang melancung. LRT & Komuter dah kira ok sikit, tapi hentian bas Puduraya masih tahap lama. Mengapa masih pandang sebelah mata. Dah buta ke atau sakit mata yg kronik?

Powered by Blogger.