Kelantan lantik firma bebas siasat Pembinaan Bazar Tok Guru

Kerajaan Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).Pengerusi Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata audit itu bertanggungjawab membuat penilaian angka sebenar kerugian yang dialami PMBK dalam menguruskan projek itu yang menimbulkan isu kontroversi penyelewengan dalam perbadanan itu sehingga menjejaskan peniaga di negeri ini.

“Bagi menjawab dakwaan itu kita (kerajaan negeri) bersetuju melantik firma bebas. Tok guru (Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) akan lantik firma audit untuk mendapat penjelasan tepat mengenai kerugian sebenar yang didakwa dalam pembinaan bazar itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini Rabu.

Penulis blog Syed Azidi Syed Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella, mendakwa bahawa kerajaan negeri kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Menteri Besar Kelantan.

Sebelum ini, Nik Aziz dilaporkan berkata kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks itu pada harga RM23 juta kerana masalah teknikal.

Susulan kenyatan Menteri Besar itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan sebaliknya akan memperoleh keuntungan menerusi jualan lot perniagaan di aras bawah kompleks tersebut.

Husam berkata, kerajaan negeri akan memastikan peniaga UDA dan Pasar Lama MPKB dapat menduduki 381 unit tingkat bawah secara menjual balik kepada peniaga terbabit. – sumber Bernama

No comments

Powered by Blogger.