Batal Forum Terbuka : PKPIM Kecam HEPA UM

Berikutan isu pembatalan ‘Forum Terbuka E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus’, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM) mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan campur tangan pihak pentadbiran Universiti Malaya dalam penganjuran Forum Terbuka tersebut.

Semalam,laman blog Um-today.com melaporkan forum tersebut terpaksa dibatalkan akibat arahan pembatalan dari pihak pentadbiran universiti Malaya.

Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM, Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad mempersoalkan rasional pembatalan forum intelektual tersebut memandangkan ianya membahaskan persoalan berkaitan perjuangan mahasiswa dan juga turut menampilkan ahli akademik,ahli politik dan mahasiswa sendiri sebagai pembicaranya.

Wan Mohamad Wasif berkata melalui diskusi intelektual seperti ini akan mampu melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis dan kreatif,mematangkan pemikiran anak muda serta mampu mewujudkan penghayatan terhadap budaya ilmu dan tradisi keintelektualan .

“Ianya tidak sepatutnya dihalang.Mahasiswa mesti diberi ruang secukupnya untuk menganjurkan diskusi intelektual dan sebarang isu yang diperselisihkan seperti isu penggunaan sistem undian elektronik atau e-voting dalam pilihanraya kampus yang melibatkan mahasiswa misalnya sewajarnya dibenarkan dibahaskan atau diperdebatkan.”

“Soal samada bersetuju atau tidak bersetuju dengan penggunaan sistem undian elektronik dalam pilihanraya kampus itu masih boleh diperbahaskan namun hak bersuara bagi mahasiswa perlu tetap diperjuangkan “Tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, potensi dan idealisma mahasiswa perlu digilap sebaiknya dengan penganjuran siri wacana ilmiah dan bukannya terus membiarkan mahasiswa terus hanyut dengan program-program anti ilmu yang melumpuhkan minda, memandulkan idealisma dan membunuh aktivisma mahasiswa.

Sebelum ini, penganjur forum tersebut iaitu Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH)dengan kerjasama wakil fakulti Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM) dikatakan telah menerima amaran dari Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM agar membatalkan penganjuran forum tersebut.

Selain itu,jurucakap BANTAH, Mohd Ridzuan Bin Othman turut mengesahkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) mengarahkan pihak APIUM agar membatalkan kelulusan tempat yang diberikan.

Walaubagaimanapun, forum tersebut dikatakan akan tetap diteruskan sekalipun bukan bertempat di Akademi Pengajian Islam tersebut.

Mahasiswakini

No comments

Powered by Blogger.