Boleh siar kenyataan jika dibenar Pemangku Raja

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Pejabat Sultan Kelantan semalam, mengarahkan semua media massa supaya tidak menyiarkan sebarang kenyataan yang membabitkan institusi Istana Kelantan, kecuali mendapat perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata semua pihak diminta merujuk kepada Pejabat Sultan Kelantan sekiranya menerima sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak atau hendak disiarkan.

Katanya, sekiranya ada sebarang kenyataan yang dibuat atau disiarkan tanpa perkenan Pemangku Raja atau kebenaran Pejabat Sultan Kelantan, maka ia akan menjadi tanggungjawab peribadi pihak terbabit.

"Saya ingin memaklumkan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan hari ini (semalam) oleh Pejabat Sultan Kelantan dan diharapkan pihak media dapat mengesahkan sebarang berita yang hendak disiarkan.

"Pekeliling Am Kerajaan Negeri Kelantan, Bilangan 2/2009 bertarikh 23 Ogos 2009 yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, ada kaitannya (dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu) dan diharap semua pihak merujuk pekeliling itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Kenyataan terbaru itu menyusul ekoran timbulnya kekeliruan di kalangan media di Kelantan kelmarin, selepas menerima salinan sepucuk surat berhubung arahan dikeluarkan pihak tertentu mengenai tindakan penarikan balik darjah kebesaran beberapa kenamaan bertaraf Datuk dan Jaksa Pendamai (JP) negeri ini.

Sementara itu menerusi Pekeliling Am Kerajaan Negeri Kelantan, Bilangan 2/2009, yang dikeluarkan Mohd Aiseri, memaklumkan bahawa tiada pihak dibenarkan mengeluarkan atau membuat kenyataan membabitkan Sultan, Pejabat Sultan Kelantan dan Istana Kelantan tanpa mendapat perkenan Pemangku Raja.

No comments

Powered by Blogger.