Isu Kalimah “Allah”:Kerajaan Tidak Akan Tarik Balik Rayuan

Putrajaya, 18 Januari - Kerajaan tidak akan menarik balik rayuan yang dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan kalimah “Allah” dalam edisi Bahasa Melayunya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan akan menunggu keputusan terhadap rayuan yang difailkan.

“Kami akan menunggu apa jua penghakiman rayuan yang telah dikemukakan,” kata beliau selepas melancarkan MyID dan Persidangan Ketua Sektor Awam di sini hari ini.

“Perdana Menteri telah mengatakan bahawa akan ada penyelesaian jangka panjang terhadap isu-isu seperti ini.

“Kami bukan hanya melihat semata-mata dari segi perundangan tetapi juga kemungkinan proses penyertaan, dialog menerusi perbincangan antara agama untuk mewujudkan pemahaman yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan keamanan dan keharmonian dinikmati negara.

Semalam Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan menarik balik rayuan yang difailakn oleh Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, menjadi prerogatif kerajaan untuk memperlihatkan keikhlasannya dalam memulakan dialog antara agama.

Sehingga kini 10 gereja dan sebuah kuil Sikh berhadapan dengan perbuatan serangan dan vandalisme sejak lebih seminggu lalu.

Sebuah masjid di Sarawak juga menjadi sasaran kerja vandalisme sehari selepas gereja di Seremban perkembangan yang dikhuatiri boleh memburukkan lagi suasana tegang ekoran isu kontroversi penggunaan kalimah “Allah”.

No comments

Powered by Blogger.