Jaga Parti Kamu Sendiri: Nasihat Musa Kepada DAP

KOTA KINABALU, 6 Jan (Bernama) -- "Jaga parti kamu dulu, jangan jaga parti orang lain." Itulah nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kepada dua pemimpin DAP Sabah yang meminta seorang pemimpin Barisan Nasional melepaskan jawatannya.

Ketika mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Sabah Edward Ewol Mujie dan setiausaha publisiti parti itu, Dr Edwin Bosi, supaya Anggota Parlimen Keningau Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan melepaskan kedudukannya itu kerana terlalu banyak tanggungjawab lain, Musa berkata DAP tidak perlu campur tangan dalam soal itu kerana ia merupakan perkara yang berkaitan dengan BN sahaja.

"Memegang dua jawatan ini tidak asing. DAP persoal perkara ini (sedangkan) Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) juga pegang dua jawatan selaku Adun dan ahli parlimen. Jadi, nasihat saya kepada DAP, jagalah parti kamu sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di sini Rabu.

Minggu lepas, Ewol dan Bosi, dilaporkan meminta Pairin, 70, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), supaya melepaskan kedudukannya sebagai Anggota Parlimen dengan alasan beliau mempunyai terlalu banyak tanggungjawab lain iaitu sebagai Anggota Dewan Negeri kawasan Tambunan, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri.

Mengenai mesyuarat kabinet negeri hari ini, Musa berkata bahawa pada mesyuarat itu, beliau telah meminta semua menteri negeri kerap turun padang untuk memantau projek-projek di bawah kementerian masing-masing.

Beliau juga berkata bahawa pada 16 Jan ini, kerajaan negeri akan mengadakan dialog dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengenai pembangunan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.