James Dawos timbalan menteri baru

Ahli Parlimen Kawasan Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan yang baru, menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib.

Beliau akan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 13 Januari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah berkenan di atas pelantikan itu yang dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

"Pelantikan itu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang akan diadakan pada Rabu, 13 Jan jam 3 petang di Istana Terenggganu, Kuala Lumpur," menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Sulaiman, anak lelaki sulung Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 41, meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan atas alasan peribadi selepas ibunya, Puan Sri Laila Taib, meninggal dunia kira-kira enam bulan sebelum itu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dilantik sebagai timbalan menteri pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan perdana menteri April lepas, Sulaiman dikekalkan di jawatan itu dalam barisan kabinet baru.

Sementara itu, Dr James Dawos berkata pelantikan beliau sebagai timbalan menteri pelancongan menggantikan Sulaiman menjadi bukti komitmen perdana menteri untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.

Dawos, 62, yang juga Anggota Majlis Tertinggi PBB berkata pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab baru dan beliau berazam untuk melakukan yang terbaik sebagai menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Pelantikan saya juga satu penghormatan kepada masyarakat Bidayuh di Sarawak dan pastinya ia berbaloi kepada masyarakat Bidayuh. Ini bukan untuk mendapatkan populariti, tapi satu amanah untuk meneruskan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Bernama.

Meskipun masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat lewat petang ini namun beliau tetap melahirkan rasa gembira dan berharap mendapat kerjasama yang lebih baik daripada semua pihak di peringkat pusat dan negeri.

Dawos yang pernah memegang jawatan sebagai penguasa alam sekitar Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak, berkelulusan Doktor Falsafah Pengurusan Alam Sekitar dari WYE College London selain mempunyai Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Perhutanan dari Louisiana State University Amerika Syarikat.

Beliau yang mempunyai hobi bermain golf dan bola sepak, berasal dari Kampung Stabut Padawan kali pertama menjadi Anggota Parliman Mambong pada pilihan raya umum ke-10 (1999) sehinggalah ke hari ini.

No comments

Powered by Blogger.