Jangan Bermuka – muka Pertahan Islam

Hari ini seperti yang diketahui, akan ada perhimpunan aman, di beberapa tempat di Kuala Lumpur, anjuran pelbagai pihak. Perhimpunan tersebut diadakan bertujuan membantah keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang beragama Kristian.

Secara prinsip nya saya tidak menghalang sebarang usaha untuk berhimpun secara aman kerana ianya sebahagian dari hak asasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Malahan adalah sangat bertepatan dengan hasrat Pakatan Rakyat, demi membina sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan negara demokratik, hak untuk berhimpun serta menyatakan pendirian ini tidak dihalang.

Namun beberapa hari kebelakangan, kita lihat sikap bermuka-muka pimpinan kerajaan apabila isu penggunaan kalimah Allah ini mulai hangat diperdebatkan. Drama ini berteraskan watak yang mahu menampilkan diri sebagai jagoan umat Islam. Tidak salah mahu mempertahankan Islam. Setiap muslim mahu membela agamanya. Akan tetapi yang salah apabila isu ini digunakan untuk meraih laba politik. Yang salahnya apabila api perkauman lebih marak membakar diri ketimbang wacana matang memahami pokok persoalan.

Jika benar mahu membela orang Islam dan Melayu, banteras rasuah dengan iltizam yang jitu, basmi kemiskinan kerana umat Melayu-Islam adalah dari kalangan mereka yang masih mundur, pastikan pengagihan kekayaan yang adil kepada semua demi meninggikan syiar Islam dan perlihatkan keindahan keadilan Islam.

Mengapa perbincangan dan rundingan dibelakangkan dan membiarkan laungan retorika perkauman menghantui tindakan? Sebagai da’i, umat Islam mestilah merangka serta melakukan sesuatu berdasarkan hujah. Kita jangan tenggelam dalam kekaburan sentimen. Kekuatan hujah memberi keyakinan sekaligus memangkin kemantapan usaha dakwah yang berpanjangan.

ANWAR IBRAHIM

No comments

Powered by Blogger.