Kedudukan MB Perak, bagaimana? – Nizar

Oleh Ahmad Qayyum

Nizar(2) IPOH – Persoalan siapakah Menteri Besar Perak yang sah masih belum diketahui sedangkan Zambry Abdul Kadir dibiarkan terus menerajui negeri itu walaupun belum diputuskan oleh mahkamah.

“Sudah dua bulan lebih saya menunggu bilakah agaknya perbicaraan semula diadakan bagi menentukan kedudukan sebenar yang sehingga kini belum ada kata putus,” kata Datuk Seri Ir Mohamad Nizar

Jamaluddin kepada Free Malaysia Today, hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang berkata,

“saya bimbang jika ia terus senyap, akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap institusi kehakiman, semestinya mereka mempersoalkannya.”

Sepanjang tempuh 10 bulan yang lepas, kes ini, bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh, kemudian pindah ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ke Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, tetapi belum juga selesai.

“Apabila melibatkan orang-orang Barisan Nasional, keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka begitu pantas dan cepat diambil tapi jika fakta dan hujah memihak kepada saya, mahkamah melengah-lengahkan dalam membuat keputusan,” terang beliau.

Beliau merujuk kepada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu yang mengisytiharkan beliau sebagai menteri besar yang sah setelah mahkamah mengambil masa yang lama.

Tetapi pada keesokan harinya (12 Mei 2009) Mahkamah Rayuan dengan mudah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dalam tempuh beberapa jam sahaja.

Apabila disoal tentang kerenah mahkamah ini, beliau berkata, “saya tidak pasti sama ada mereka sengaja melambat atau menangguh kes saya.”

“Kalau ia sengaja dilakukan bermakna persepsi masyarakat terhadap institusi kehakiman bertambah pudar malah reputasi serta imej kehakiman akan terjejas,” jelas beliau.

Nizar berkata, hal ini secara tidak langsung boleh mewujudkan sikap prasangka dan kepercayaan masyarakat akan luntur terhadap keadilan sistem perundangan negara.

“Bagaimanapun ini bukanlah bermakna saya mempersoalkan kewibawaan mahkamah tetapi mahukan penjelasan kenapa ia masih tertangguh,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.