Kenyataan Timbalan Menteri tidak adil dan tidak tepat – Majlis Dekan Pendidikan

Tanjong Malim , 4 Disember – Majlis Dekan Pendidikan hari ini menjawab kenyataan Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan. Kenyataan jawab yang dimuatkan dalam Berita Harian hari ini menyatakan lebihan pendidik tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, ”Majlis Dekan Pendidikan Malaysia terpanggil untuk menjawab kerana kami rasa kenyataan ini tidak adil dan tidak tepat. Kenyataan ini juga menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan pelajar kami.”

Dalam kenyataannya ”tidak tepat dan tidak adil untuk menyatakan pelatih IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) mesti didahulukan kerana pelatih IPGM dilatih untuk sekolah rendah manakala pelatih IPTA untuk sekolah menengah”.

.
Majlis Dekan Pendidikan turut menyanggah kenyataan Dr Mohd Puad berhubung kenyataan IPTA bertanggungjawab untuk melatih guru-guru sekolah swasta dan menyatakan pendirian bahawa ”kami tidak pernah melatih guru untuk sekolah swasta. Oleh itu kami tidak pasti daripada mana Timbalan Menteri mendapat maklumat ini.”


Dalam hal berkaitan, kenyataan yang dikemukan Majlis Dekan Pendidikan selari dengan apa yan dijelaskan oleh Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob yang menyatakan KPM perlu adil dalam menempatkan graduan pendidikan dari IPTA, sepatutnya tidak timbul lebihan pendidik kerana pembahagian telah dibuat dan dipersetujui kabinet.

Baru-baru ini , kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran berhubung lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan menimbulkan pelbagai reaksi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk menyatakan KPM tidak adil dan kerajaan kehabisan wang untuk menampung pendidikan.


Lebihan pendidik tidak patut berlaku

SURAT ini adalah reaksi Majlis Dekan Pendidikan terhadap kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, dalam akhbar The Star dan Berita Harian 31 Disember lalu berkaitan lantikan guru lepasan ijazah pendidikan.

Dalam kenyataan itu, Dr Mohd Puad menyatakan penempatan graduan lulusan Sarjana Muda Pendidikan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sekolah hanya akan dilakukan berdasarkan kekosongan jawatan dan pengkhususan mereka.

Majlis Dekan Pendidikan Malaysia terpanggil untuk menjawab kerana kami rasa kenyataan ini tidak adil dan tidak tepat. Kenyataan ini juga menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan pelajar kami.

Dalam kenyataannya itu, beliau antara lain juga menyatakan wujud lambakan guru lepasan diploma pendidikan dari IPTA. Ini tidak mungkin boleh berlaku kerana kami sudah mematuhi jadual Kementerian Pelajaran yang menetapkan jumlah dan opsyen guru yang kami perlu latih.

Jadual ini dipersetujui antara Kementerian Pelajaran dan IPTA. Oleh itu, salah jika dikatakan pelatih diploma di IPTA boleh memilih opsyen yang mereka suka kerana mereka dikehendaki menduduki ujian MEdSI (Malaysian Education Selection Inventori) serta ditemu duga dan hanya mereka yang layak dalam opsyen yang ditetapkan saja, dipilih.

Adalah juga tidak tepat dan tidak adil untuk menyatakan pelatih IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) mesti didahulukan kerana pelatih IPGM dilatih untuk sekolah rendah manakala pelatih IPTA untuk sekolah menengah.

Pembahagian sekolah rendah dan menengah ini dipersetujui kabinet. Adakah ini bermakna Timbalan Menteri itu mencadangkan guru IPGM yang dilatih untuk sekolah rendah akan ditempatkan di sekolah menengah juga?

Beliau juga dikatakan membuat kenyataan yang IPTA bertanggungjawab untuk melatih guru-guru sekolah swasta. Kami tidak pernah melatih guru untuk sekolah swasta. Oleh itu kami tidak pasti daripada mana Timbalan Menteri mendapat maklumat ini.

Kami daripada dulu lagi hanya melatih guru untuk Kementerian Pelajaran berdasarkan sasaran ditetapkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran. Oleh itu kami tidak faham bagaimana lebihan guru ini boleh berlaku.

Hanya IPTA saja yang melatih guru siswazah sehinggalah 2008 apabila IPGM ditubuhkan. Kami sudah berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada negara ini sekian lama. Kami mempunyai infrastruktur dan tenaga pakar.

Dengan kata lain, kami mempunyai kelengkapan yang lengkap, pengalaman, kemahiran dan pengetahuan untuk melatih guru siswazah yang berkaliber. Inilah sebabnya kerajaan melaburkan dengan memperuntukkan begitu banyak kewangan bagi membina kapasiti kami, tetapi malangnya kapasiti ini tidak digunakan sebaik mungkin.

PROF DR ABDUL RASHID MOHAMED,
Pengerusi Majlis Dekan
Pendidikan Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.