Kes saman bapa Nurin ditentu menerusi bicara penuh

KUALA LUMPUR: Kes saman terhadap kerajaan yang difailkan oleh bapa Nurin Jazlin atas kecuaian sehingga gambar bedah siasat kanak-kanak malang itu tersebar dalam internet akan ditentukan menerusi perbicaraan penuh.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menarik balik permohonan awalnya untuk membatalkan saman tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu tanpa kos dalam kamar selepas mendengar hujah daripada peguam Jazimin, Harjinder SinghSandhu dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin dan Zureen Elina Mohd Dom. Harjinder kemudian memberitahu pemberita bahawa Zabariah berpendapat bahawa kes itu perlu diputuskan menerusi perbicaraan penuh dan tidak sesuai untuk ditentukan secara penghakiman ringkas.

Katanya, beliau membantah permohonan Noorin untuk pihak defendan ditawarkan kos RM10,000.

Pada 21 Ogos 2008, Jazimin, pekerja di syarikat keselamatan, menyaman KetuaPolis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan, kerana didakwa cuai menyebabkan gambar itu tersebar di internet.

Pada 30 Oktober 2009, Zabariah menolak permohonan Jazimin untuk penghakiman ringkas mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Bagaimanapun, tarikh bagi perbicaraan penuh belum ditetapkan kerana mahkamah perlu mendengar permohonan Jazimin bagi meminda pernyataan tuntutannya untuk turut menamakan Lans Koperal Amran Arifin sebagai defendan dalam kes saman itu.

Kes meminda tuntutan itu akan didengar pada 29 Januari ini. Dalam pernyataan tuntutannya, Jazimin, 35, berkata penyebaran gambar bedah siasat itu telah memalukan keluarganya dan mengganggu emosi mereka.

Dalam saman kecuaian itu, Jazimin tidak menyatakan jumlah ganti rugi tetapi memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, faedah terhadap ganti rugi am, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Nurin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen1, Wangsa Maju, di sini.

Mayat pelajar tahun dua SRK Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan yang diletakkan di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48,Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin juga didera secara seksual. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.