Lima Kelab Di Jalan P.Ramlee Dibenarkan Perbaharui Lesen

KUALA LUMPUR: Lima buah kelab malam terkemuka di Jalan P. Ramlee di sini yang sebelum ini lesen hiburannya dibatalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menghasilkan bunyi bising melebihi had kini dibenarkan untuk memperbaharui lesen berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau membuat keputusan itu setelah pengusaha-pengusaha kelab itu merayu dan berjanji untuk mengawal paras bunyi berkenaan.

"Setelah berbincang dengan pengusaha-pengusaha kelab ini, saya dah buat keputusan untuk memberi laluan kepada pengusahapengusaha kelab ini memperbaharui lesen mereka.

"Mereka telah menulis surat rayuan, di mana mereka telah merayu dan mohon maaf kepada Datuk Bandar dan juga DBKL atas tindakan lalu iaitu berkenaan dengan pengawalan paras bunyi dan mereka berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya selepas ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelab malam yang terlibat ialah Rum Junggle, Bar & Restaurant, Beach Club Cafe, Thai Club & Bistro, Passion atau Padi House serta Aloha. Beliau berkata, kelima-lima pengusaha kelab berkenaan memberi jaminan kepadanya bahawa tidak akan wujud paras bunyi yang lebih daripada had ditetapkan.

Menurutnya, standard bunyi pada waktu siang tidak melebihi 55 desibel dan pada waktu malam tidak melebihi 65 desibel.

Sementara itu, di Petaling Jaya, Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, beliau menemui Raja Nong Chik meminta agar DBKL menimbangkan tindakan mereka.

Ng berkata, penutupan premis hiburan tidak sepatutnya berlaku kerana sepanjang Jalan P.Ramlee dikenali sebagai kawasan hiburan di waktu malam.

Beliau berkata, Raja Nong Chik juga mempunyai pandangan sama dan bersetuju mengkaji semula garis panduan dan peraturan mengenai gangguan ketenteraman awam disebabkan bunyi daripada premis hiburan. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.