Mafrel pantau pilihan raya kampus UM

http://farm5.static.flickr.com/4040/4276587218_8ea7dbc4cf.jpg

Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas (Mafrel) telah menyatakan kesediaan untuk memantau perjalanan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM), yang buat julung kali menggunakan sistem pengundian elektronik (e-undi), minggu depan.

Penggunaan sistem e-undi mencetuskan bantahan di kalangan sebahagian pelajar universiti itu.

Jurucakap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah), Mohd Ridzuan Othman berkata pihaknya sudah mencapai kata sepakat dengan Mafrel untuk menjadi badan pemantau pilihan raya kampus yang akan memilih anggota Majlis Perwakilan Pelajar dan kolej.

Jika menjadi kenyataan dipercayai ini kali pertama Mafrel, yang merupakan badan pemantau pilihan raya kebangsaan, melangkah ke menara gading.

“Pihak Bantah juga ingin menegaskan bahawa hasil daripada kesepakatan bersam dengan pihak Mafrel, Mafrel bersetuju untuk menjadi badan bebas untuk memantau perjalanan pilihan raya kampus pada kali ini.

“Kami di peringkat Banath juga akan memantau system e-undi yang telah dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) agar tidak ada manipulasi dan ‘tangan-tangan ghaib’ yang akan mencalarkan sistem demokrasi kampus di UM dan UIAM,” kata Ridzuan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ridzuan menjelaskan syor itu telah dipersetujui oleh Naib Presiden UM Profesor Dr. Ghauth Jasmon pada satu pertemuan dengan mereka 31 Dis lalu.

“Kami akan mengadakan pertemuan semula dengan pengurusan universiti pada Khamis atau Jumaat ini untuk membincangkan perkara ini dengan lanjut.

“Pihak Mafrel juga akan mengemukakan butiran lanjut proses pemantauan kepada kami minggu ini,” kata beliau.

Ridzuan memberitahu Bantah akan memastikan perjalanan pilihan raya kampus kali ini bebas daripada sebarang keraguan terhadap proses pengundian dan seterusnya memastikan kesuburan demokrasi kampus terus mewarnai landskap universiti negara ini.

“Sistem yang baru khususnya buat UM kerana pada pilihan raya kampus yang dijadual diadakan pada 28 Jan ini akan menyaksikan sistem yang baru ini diperkenalkan.

“Tetapi bagi pihak Bantah, kami terus-terusan menentang dan mendesak pemansuhan sistem e-undi ini kerana ketelusan dan integriti pihak yang menyelenggara sistem ini dipersoalkan,” katanya.

Pelajar UIAM akan keluar mengundi Khamis ini.-The Malaysian Insider

No comments

Powered by Blogger.