Mahkamah Persekutuan beri Anwar masa fail rayuan dapatkan dokumen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen bagi perbicaraan liwatnya ke satu tarikh yang akan ditetapkan bagi memberi beliau masa mencukupi untuk memfail petisyen dan membuat persiapan untuk kesnya.

Penangguhan diberikan kepada ketua pembangkang itu oleh panel terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embung.

Terdahulu semasa prosiding, peguam Karpal Singh bagi pihak Anwar memberitahu mahkamah mereka harus diberikan masa yang cukup untuk menyediakan rayuan oleh kerana mereka hanya menerima rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lalu.

"Menurut peraturan, kami mempunyai 10 hari dari hari kami menerima rekod rayuan, bagi memfail petisyen rayuan. Kami akan fail petisyen menjelang Isnin.

"Kami juga menerima notifikasi dari mahkamah pada 29 Disember tahun lalu, memberitahu kami bahawa rayuan ini ditetapkan untuk pendengaran hari ini. Adalah tidak mengikut perlembagaan tarikh pendengaran ditetapkan sekalipun petisyen rayuan belum difailkan," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.