Majlis Peguam yakin isu 'Allah' dapat diselesai

Majlis Peguam yakin isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah mingguan Katolik, Herald, akan dapat diselesaikan, kata presidennya Ragunath Kesavan.

Beliau berkata perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dengan pihaknya di Pejabat Perdana Menteri di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.

"Perdana menteri memberi jaminan isu tersebut akan dapat diselesaikan. Beliau faham masalah itu dari kedua-dua belah pihak.

"Kita tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Najib selama kira-kira setengah jam.

Wakil Majlis Peguam yang lain antaranya naib presidennya Lim Chee Wee dan setiausahanya George Varughese.

Ragunath berkata pada pertemuan itu, pihaknya turut mencadangkan penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat guaman.

"Sesiapa yang tidak mampu untuk membayar peguam, boleh mendapatkan bantuan melalui yayasan tersebut.

"Berdasarkan statistik, kira-kira 80 peratus orang yang dihadapkan ke mahkamah tidak mempunyai peguam untuk membela mereka. Ia merupakan statistik yang tinggi," katanya.

Beliau berkata Najib memberi jaminan untuk menimbang cadangan penubuhan yayasan itu yang dijangka akan ditubuhkan pada tahun ini.

Selain itu, katanya, fasa pertama projek Perlembagaanku telah dilancarkan dua bulan lalu, yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat di negara ini mengenai Perlembagaan Malaysia.

Ragunath berkata pada pertemuan itu, pihaknya memohon kerjasama dan bantuan kewangan daripada kerajaan kerana melalui projek itu ia akan memberi kesedaran dan membantu rakyat Malaysia memahami isu-isu perlembagaan, hak asasi, kedudukan agama Islam dan sebagainya.

"Perdana menteri berjanji akan memberi pertimbangan dan mengkaji cadangan itu serta berjanji akan membawa perkara itu ke Kabinet," katanya.

Beliau berkata turut dibincangkan ialah mengenai badan kehakiman di negara ini yang mula mendapat keyakinan daripada masyarakat.

- Bernama

No comments

Powered by Blogger.