Malaysia Sederhana wajar ganti 1Malaysia

Oleh Fazallah Pit

manuty KONSEP Middle Malaysia atau Malaysia Sederhana serasi dengan asas perjuangan Pakatan Rakyat (PR) yang mengutamakan keadilan untuk semua, baik yang beragama Islam mahupun bukan.

Malah, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, konsep itu jelas mengatasi gagasan 1Malaysia yang dilaung-laungkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, konsep kesederhanaan itu termaktub dalam al-Quran yang menekankan kepentingan umat berimbang tetapi bertunjangkan doktorin Islam.

Katanya, konsep keadilan, kesamarataan, persaudaraan, akhlak kemanusiaan dan syariah rasional penting untuk kehidupan semua orang termasuk bukan Islam.

“Konsep kesederhanan itu mampu menyatukan segenap lapisan masyarakat, baik yang Islam mahupun bukan,” katanya kepada Suara Keadilan.

Muhammad Nur berkata, konsep Malaysia Sederhana memang menjadi asas perjuangan PR yang menolak pendekatan ektrem amalan Umno-BN.

“Konsep kesederhanaan ada disebut dalam ayat al-Quran dengan jelas iaitu ‘ummatan wassatan’,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata, konsep kesederhanaan memang sesuatu yang diimpikan rakyat negara ini dan menjadi asas kehidupan.

Pada 17 Januari lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengetengahkan pendekatan ‘Malaysia Sederhana’ buat parti itu dan PR. Ketua Menteri Pulau Pinang itu yakin Malaysia Sederhana akan menarik pengundi berpendirian sederhana untuk membawa pakatan pembangkang menuju Putrajaya.

Berucap pada Konvensyen Kebangsaan DAP di Ipoh Perak, beliau menggesa PR mengambil pendekatan sederhana dan melahirkan Malaysia sebagai negara sederhana dan bertolak ansur.

“Malaysia Sederhana mengutamakan kerjasama bukannya konflik, perundingan berbanding konfrontasi dan sebuah masyarakat inklusif yang sedia berkongsi berbanding masyarakat inklusif yang berasingan.

“Kita tidak mahu (situasi) ekstrem meminggiri dengan pengumuman dan kedudukan yang menakutkan mana-mana rakyat biasa Malaysia,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.