MB Pahang mungkin diheret ke mahkamah

Oleh Norasikin Samsi

Azan Ismail Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dibidas dan mungkin menghadapi tindakan mahkamah kerana enggan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi membetulkan kesilapan tarikh yang menjadikan bajet negeri untuk tahun 2010 tidak sah.

Walaupun kesalahan itu membawa impilikasi besar terhadapan pengurusan negeri, Adnan masih tidak berganjak dan mendedahkan rakyat negeri itu kepada risiko besar dari segi urustadbir kerajaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (gambar) berkata Adnan harus memikirkan cara untuk membetulkan kesilapan kerajaan Umno- Barisan Nasional Pahang berhubung tarikh semakan bajet negeri untuk tahun 2010.

Kesilapan itu menyebabkan DUN meluluskan belanjawan haram di sisi undang-undang.

Beliau berkata, Adnan bertindak angkuh apabila menolak bulat-bulat cadangan ADUN Pakatan Rakyat baru-baru ini yang mengesyorkan agar sidang DUN khas diadakan bagi membaiki kesilapan itu.

“Beliau perlu menerima teguran ini dengan matang dan bijaksana. Kesilapan yang dibuat boleh diperbaiki dan selagi ianya tidak dibetulkan, bermakna bajet itu masih lagi tidak sah dari segi perundangan.

“Segala yang terkandung dalam buku belanjawan tersebut sebenarnya dikawal di bawah akta cara kewangan yang sama, maksudnya setiap muka surat di dalamnya adalah dianggap sebagai warta kerajaan dan perlu disahkan, dibentangkan di dalam dewan.

“Apa-apa pembetulan mesti dibuat di dalam dewan dan biasanya dibuat semasa persidangan berlangsung,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Bajet 2010 Pahang tidak sah kerana menggunakan tarikh semakan salah iaitu 2008 pada ringkasan Penyata Kewangan Negeri Pahang yang dikepilkan dalam Bajet 2010.

Belanjawan silap ini telah diluluskan majoriti dalam sidang DUN Pahang pada 13 hingga 21 November tahun lalu. Azan juga melahirkan kebimbangan kerana belanjawan silap ini akan mengganggu pentadbiran kewangan negeri Pahang.

“Kesilapan serius seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia merupakan kesilapan besar membabitkan wang rakyat Pahang seraya menjejaskan halatuju ekonomi negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azan berkata beliau difahamkan PAS Pahang sedang menimbang untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas kerajaan negeri kerana kegagalan membetulkan kesilapan berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.