Nasrudin: Demonstrasi tidak mampu selesai masalah

PUTRAJAYA, 7 Jan - Meskipun Perdana Menteri Najib Abdul Razak menyokong dan merestui tunjuk perasaan besar-besaran membantah penggunaan Allah oleh masyarakat samawi, Dewan Pemuda Pas menggesa akar umbi gerakan Islam terbesar tanahair itu untuk tidak menyertai demonstrasi ini.

Ketua Pemuda Nasruddin Hassan at-Tantawi menegaskan tunjuk perasaan ini tidak mampu menyelesaikan pertelagahan kalimah Allah.

“Kita ambil pendekataan secara ilmu, secara hujah dan juga memberi keterangan, memberi penjelasan. Apa perlu kita melakukan demo kerana sebelum ini kita belum ambil lagi langkah itu. Demo ini dilakukan apabila sudah ketiadaan ruang untuk berdialog dan berbincang. Setelah kita menghantar memorandum tidak dilayan, diberikan pandangan tidak dipeduli, bila kita bertindak tidak mendapat sokongan, maka pada ketika itu yang ada hanyalah tunjuk perasaan,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan sekatan Kementerian Dalam Negeri keatas warta Katolik, The Herald, yang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Disebalik seruan pelbagai pihak supaya masyarakat Islam bertenang, Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein merestui tunjuk perasaan besar-besaran diadakan.

Restu ini dibidas keras oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dewan Pemuda Pas menggesa umat Islam untuk tidak bertindak terburu-buru dibuai sentimen yang ditiup oleh pihak yang dahagakan konfrontasi.

Beliau menegaskan pandangan pimpinan masyarakat dan agama perlu dirujuk, kerana masih ada ruang untuk perbincangan dan adalah salah untuk pihak-pihak tertentu menguja provokasi yang hanya memburukkan lagi keadadan.

Nasruddin berkata masyarakat Islam harus menunjukkan sikap yang perlu diteladani penganut-penganut agama lain dalam penyelesaian konflik.

“Adapun kita masih ada ruang untuk bertindak. Kita ambil dahulu tindakan itu untuk bertemu, lihat apa sebenar motif, setelah kita bincang, kita lihat hasilnya bagaimana, selepas itu kita decide tindakan yang berikutnya,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

No comments

Powered by Blogger.