Orang Kristian tidak pernah berniat mengancam kesucian agama Islam — Siong Tet

JAN 4 — Saya seorang rakyat Malaysia daripada suku Kenyah Badeng dari ulu Sungai Kakus, Tatau, Sarawak. Saya dan seluruh keluarga saya berkepercayaan Kristian dari dominasi Sidang Injil Borneo, yang dikategorikan Kristian Protestan. Keluarga saya sudah lama menerima kepercayaan Kristian, malah sebelum saya lahir pada tahun 1975. Kesemua penduduk kampung saya yang terdiri daripada hampir 2,000 orang adalah juga berkepercayaan Kristian. Untuk lebih spesifik, nama kampung saya dipanggil Kampung Data Kakus, Tatau, Sarawak. Kampung ini diduduki suku Kenyah Badeng dan suku-suku lain hasil daripada kawin campur dengan suku-suku lain. Di kampung saya, terdapat satu gereja yang besar dapat memuatkan hampir 1,000 orang.

Sejak saya kecil saya sudah diajarkan tentang ajaran kekristianan di peringkat sekolah minggu. Di sekolah minggu, semua bahan pendidikan adalah dalam bahasa Malaysia. Ketika memasuki sekolah menengah di Sekolah Menengah Kerajaan Belaga, kami penuntut berkepercayaan Kristian dibenarkan membentuk persatuan di dalam sekolah yang mempunyai kemudahan asrama dikenali sebagai ISCF (Inter-School Christian Fellowship) di sekolah. Kami menggunakan Bahasa Malaysia dalam semua aktiviti termasuk nyanyian pujian kepada Tuhan Allah, Tuhan Yesus dan Roh Kudus begitu juga halnya dengan bahan-bahan cetakan, rujukan dan penulisan. Di dalam sekolah yang sama, Kristian Katolik juga mempunyai persatuan mereka dan mereka juga menggunakan bahasa Malaysia dalam semua aktiviti mereka.

Kalau tidak salah, suku kenyah Badeng telah mula menjadi Kristian sejak dari tahun 1940-an, atau mungkin awal daripada itu. Saya percaya begitu kerana ibubapa saya sudah berumur 70 tahun sekarang. Menurut cerita mereka, ibubapa mereka (nenek dan datuk saya) sudah pun menerima pemberitaan tentang kekristianan pada zaman mereka masih hidup.

Sepanjang persekolahan sehingga di pengajian tinggi di Universiti Malaya, Bahasa Malaysia adalah bahasa utama, maka saya seringkali berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia dengan setiap orang yang bukan dari suku yang sama dengan saya. Saya tidak begitu fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Di kampung saya, kami menggunakan Alkitab terjemahan Bahasa Malaysia yang dibenarkan dicetakkan di Malaysia. Terdapat juga Alkitab yang diimpot dari Indonesia dalam terjemahan Indonesia.

Sebahagian besar pengikut Kristian dari denominasi Sidang Injil Borneo di Sabah dan Sarawak adalah dari suku-suku pri-bumi dan kami memerlukan Alkitab yang diterjemahkan dalam bahasa yang kami mudah fahami. Di Malaysia, Bahasa Malaysia adalah bahasa yang semua orang mudah fahami. Walaupun setiap suku mempunyai bahasanya sendiri, namun tiada pakar bahasa yang boleh menterjemahkan Alkitab dalam bahasa suku-suku kami. Namun sudah ada usaha untuk menterjemah Alkitab ke dalam beberapa bahasa suku-suku di Malaysia terutama suku-suku di Sabah dan Sarawak. Dalam terjemahan Kenyah, Tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi dan manusia diterjemah sebagai Tuhan Allah. Bahasa Kenyah tidak mempunyai perkataan sendiri untuk menterjemah Tuhan Allah kepada nama lain.

Menterjemah Alkitab memerlukan pengetahuan yang tinggi kerana mesej dalam Alkitab adalah Firman Tuhan Allah yang tidak boleh diterjemah tersalah dengan mesej asal dan sebenarnya. Saya percaya pengikut kepercayaan Kristian dari denominasi lain juga mempunyai keperluan yang sama, iaitu terjemahan dalam bahasa yang mudah difahami.

Alkitab menterjemahkan Tuhan yang dimaksudkan dalam Alkitab terjemahan bahasa Inggeris, Bible, sebagai Allah dalam terjemahan Bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia. Saya tidak mempunyai pengetahuan bagaimana penterjemahan Allah itu dipilih ketika penterjemahan penerbitan Kristian yang mula-mula termasuk Alkitab, dibuat. Menurut mereka yang lebih berpengetahuan, dan peguam yang berhujah di mahkamah tinggi Malaysia, perkataan Allah sudah lama digunapakai dalam penerbitan Kristian untuk merujuk kepada Tuhan yang menciptakan alam semesta, bumi, Adam dan Hawa.

Orang Kristian yang bertutur dalam dalam Bahasa Malaysia dalam gereja mereka sudah lama menggunakan perkataan Allah. Maka, adalah tidak benar dakwaan bahawa penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian di Malaysia baru saja muncul. Kerajaan Malaysia juga mengetahui perkara ini. Terdapat juga menteri kabinet pada masa dulu dan juga sekarang ini, yang berkepercayaan Kristian, yang dari suku Bumiputera bukan Muslim menggunakan perkataan Allah dalam gereja mereka.

Orang-orang tua, ibubapa kami di kampung tidak tahu menahu tentang larangan yang dikenakan oleh orang Muslim Malaysia supaya tidak menggunakan istilah Allah dalam ibadah mereka, dalam pembacaan Alkitan, dalam penyampaian firman Tuhan di gereja-gereja berbahasa Malaysia, bahasa Kenyah, bahasa Iban, bahasa Kelabit, bahasa Lun Bawang, bahasa Kayan, bahasa Dusun, bahasa Kadazan, bahasa Murut dan banyak lagi. Bagaimana kami hendak menerangkan kepada datuk nenek kami, ibu bapa kami yang tidak berpendidikan bahawa mereka dilarang menggunakan perkataaan Allah? Bukankah mereka akan mendapati kebebasan mereka untuk mengamalkan kepercayaan mereka disekat? Sedangkan kami yang sentiasa mengikuti perkembangan isu ini merasa kebebasan kami, yang kami sudah sekian lama amalkan kini hendak dilarang.

Dalam Alkitab yang saya pegang, Tuhan yang saya sembah adalah Tuhan Allah yang menciptakan alam semesta, Tuhan Allah yang menciptakan Adam dan Hawa, Tuhan Allah yang disembah oleh nabi Abraham, Isak dan Yakub, Tuhan Allah yang disembah oleh Nabi Noh, Tuhan Allah yang disembah oleh nabi Musa yang telah memimpin orang Israel keluar dari Mesir, Tuhan yang disembah oleh nabi Harun, Tuhan Allah yang disembah oleh Maria yang melahirkan Isa Almasih iaiti (Yesus Kristus). Alkitab yang saya pegang yang menyatakan begitu.

Orang Muslim Malaysia mencadangkan supaya kami menggunakan nama Tuhan sahaja kerana God dalam bahasa Inggeris diterjemahkan sebagai Tuhan dalam bahasa Malaysia. Cuba kita fikirkan, kalau God dalam bahasa Inggeris diterjemahkan dalam bahasa Arab di negara-negara Arab, apakah terjemahan yang betul? Saya yakin terjemahannya adalah Allah. Bahasa Melayu juga tidak memiliki satu perkataan yang sesuai untuk menterjemahkan perkataan Allah dalam bahasa Melayu. Istilah Allah adalah bahasa Arab. Menurut sumber bacaan saya, orang Arab Kristian sudah lama menggunakan nama Allah untuk merujuk kepada Tuhan Allah yang menciptakan alam semesta, mencipta bumi, mencipta Adam dan Hawa. Pengikut Kristian di kalangan orang Arab wujub lebih awal daripada kewujudan Islam. Pada masa sekarang, masih ramai orang Arab yang berkepercayaan Kristian dan menggunakan istilah Allah. Alkitab mereka adalah dalam tulisan Jawi dan dalam bahasa Arab. Bekas timbalan presiden Iraq (timbalan kepada presiden Saddam Husien) adalah seorang Arab yang berkepercayaan Kristian.

Bagi saya, Tuhan adalah satu perkataan yang umum, tidak spesifik kepada Tuhan Allah yang saya sembah. Orang Muslim di negara lain tidak mempunyai isu dalam keadaan seperti ini. Di Sabah dan Sarawak pun tiada masalah. Di Sarawak, orang bukan Kristian adalah minority tapi orang Kristian di Sarawak tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa orang Kristian harus dipentingkan berbanding orang bukan Kristian.

Orang Muslim di Malaysia mendakwa bahawa keputusan mahkamah tinggi membenarkan Herald menggunakan istilah Allah telah menimbulkan ketengangan di antara orang Muslim dan orang Kristian. Saya sebagai orang Kristian sedikit pun tidak mengalami satu ketegangan wujud. Orang Kristian diajar oleh Firman Tuhan Allah supaya memiliki belas kasihan sesama manusia. Tuhan Allah sangat termulia, teragung dan berkuasa. Dia Allah tidak memerlukan manusia untuk membela-Nya. Dialah Allah yang membela manusia daripada iblis. Manusia tiada keupyaan untuk membela Allah yang Esa. Allah hanya mahu manusia menyembah Dia, mempercayai Dia dan tunduk pada Firman-Nya.

Yesus adalah Firman Allah yang sudah menjelma menjadi manusia melalui kelahiran yang luar biasa, iaitu melalui kandungan Maria tanpa persetubuhan. Firman itu menjadi hidup dan hidup di tengah-tengah manusia yang dikasihiNya. Yesus adalah Firman Allah yang Hidup. Tuhan Allah memberitahu manusia bahawa Yesus itu anakNya, untuk menunjukkan kasihNya kepada manusia kerana dengan berbuat demikian manusia dapat melihat kasih yang ada pada Tuhan Allah sehingga sanggup menghantar anakNya untuk mati berkorban untuk dosa manusia.

Anak merupakan seseorang yang seseorang manusia sangat sayangi, maka ianya memerlukan kasih yang sangat besar untuk sesorang rela mengorbankan anaknya. Tuhan Allah berbuat demikian supaya manusia sedar bahawa Allah sanggup berbuat demikian kerana kasihNya kepada umat manusia. Maka Yesus yang dipanggil anak Tuhan Allah dalam Alkitab tidak sama konsepnya dengan konsep manusia beranak pinak. Yesus adalah firman Allah sendiri yang menjelma menjadi manusia. Dia Firman itu sudah ada sebelum alam semesta diciptakan. Dengan Firman itulah segala sesuatu diciptakan oleh Allah. Perkara ini kelihatan mustahil bagi manusia, tapi bagi Allah, ini tidak mustahil sama sekali.

Oleh itu gesaan orang Muslim Malaysia supaya orang Kristian memanggil Tuhan mereka Yesus sahaja tidak boleh diterima oleh orang Kristian Malaysia yang menggunakan Bahasa Malaysia dalam gereja mereka, termasuk saya. Pengertian saya secara peribadi ialah, orang Kristian dan Muslim menyembah Allah yang sama. Tetapi orang Kristian mempunyai pengertian yang berlainan dengan pengertian orang Muslim. Ini kerana beberapa nama nabi dalam Alkitab dan Al-Quran juga menyembah Allah yang sama. Nabi-nabi yang dimaksudkan ialah (seperti dalam Alkitab) Nabi Abraham, Nabi Isak, Nabi Yakub, Nabi Noah, Nabi Musa, Nabi Harun. Orang Muslim percaya Yesus sebagai Nabi Isa.

Biarkan kami orang Kristian dari suku minority memanggil Tuhan yang kami sembah sebagai Tuhan Allah, Bapa Syurgawi yang maha berkuasa dan pengasih. Tiada siapa boleh menghalang kami datang kepada Tuhan Allah kami untuk menyembah Dia. Allah mengasihi semua orang di muka bumi ini. Tuhan Allah ingin supaya semua umat manusia mnyembah Dia sahaja.

Agama Islam tetap dihormati sebagai agama rasmi di Malaysia. Orang Kristian tidak pernah berniat mengancam kesucian agama Islam dengan penggunaan istilah Allah. Kami hanya mahu menyembah memuji Tuhan Allah kami yang kami kenal seperti tetulis dalam Alkitab. Agama Islam sangat teguh di Malaysia, maka agama ini tidak akan mudah diancam. Lagipun tiada seorang pun di kalangan orang Kristian berniat untuk mengancam agama rasmi Malaysia ini. Orang Islam di Malaysia sangat teguh iman mereka, maka ianya tiada kena mengena dengan kami orang Kristian jikalau mereka menjadi keliru dengan kepercayaan mereka.

Kami orang Kristian merasa sedih kalau dianggap sebagai ancaman kepada agama rasmi Malaysia. Kami orang Kristian sentiasa berdoa kepada Tuhan Allah supaya menjadikan negara ini makmur dan maju. Di gereja, kami seringkali berdoa supaya Tuhan yang kami sembah memberi hiktmat kepada pemimpin-pemimpin negara supaya mentadbir negara ini dengan penuh kebijaksanaan. Kami orang Kristian minoriti menyintai negara sendiri.

Kami mempunyai satu lagu khas yang selalu kami nyanyikan untuk Malaysia yang juga sebagai doa kami untuk Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.