Pemimpin Islam Kutuk Serangan Ke Atas Empat Gereja

SHAH ALAM, 8 Januari - Di Shah Alam, perhimpunan aman turut menjadi medan untuk pemimpin Islam mengutuk serangan ke atas empat gereja di Lembah Kelang.

Dan pengerusi majlis sendiri berkata pihaknya tidak membantah orang bukan Islam menyebut kalimah Allah selagi tidak disalahgunakan dan menimbulkan ketegangan.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 500 orang ini terpaksa di pindahkan dari perkarangan masjid ke dalam dewan masjid kerana tidak mempunyai permit polis.

Penganjur perhimpunan menyifatkan sesi ini sebagai usaha memberi keterangan bersabit isu kalimah Allah dari kaca mata pentadbiran masjid dan surau.

“Kita hendak jelaskan kita tiada masalah sebenarnya kalau bukan Islam hendak menyebut kalimah Allah. Sebut kalimah Allah tidak ada masalah yang jadi isunya petang ini, salahguna kalimah Allah untuk tujuan yang kita rasa boleh menyebabkan ketegangan agama dan bangsa di Malaysia,”kata Pengerusi majlis, Mahadi Mohamad.

Perhimpunan aman masjid negeri ini turut membabitkan badan pertubuhan bukan kerajaan.

Ia meluluskan tiga resolusi termasuk menasihati semua penganut agama supaya tidak menyalahgunakan kalimah Allah.

Selain beberapa kain rentang turut dipasang di sekitar pintu masuk masjid bagi mengumpul tandatangan sokongan untuk resolusi berkenaan.

Iman Masjid Negeri Ahmad Mustafa berkata pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Majlis Agama Islam (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada 11 Januari untuk dipanjangkan kepada Sultan Selangor.

Dalam membuat pendirian mengenai penggunaan kalimah Allah, penganjur majlis juga mengabil sikap tegas terhadap serangan bom petrol terhadap empat gereja Krisitian di Lembaah Kelang.

“Kita boleh perjuangkan secara aman sebenarnya, sebenarnya benda itu akan memberi impak kepada umat Islam dituduh sebagai pengganas atau tidak diplomasi. Saya tidak menyokong usaha sebegitu kerana masih ada jalan sebaiknya gunakan lunas undang-undang untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.