Pemuda Pas minta kaji semula hubungan dua hala Malaysia-Mesir

PUTRAJAYA, 7 Jan - Dewan Pemuda Pas Pusat menggesa Kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dengan Kaherah selepas rejim Hosni Mubarak memberkas aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.

Ketua Pemuda Nasruddin Hassan at-Tantawi berkata penahanan rakyat Malaysia dan sekatan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Palestin bertentangan dengan prinsip Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).

Dengan nada kesal, Pas berkata kejadian tersebut mendedahkan persekongkolan kerajaan Mesir dan rejim Zionis menganiaya umat Islam di Gaza.

“Jadi kita menggesa supaya Malaysia membuat kajian semula tentang hubungan dua hala. Jika perlu, tarik balik duta Malaysia ke Mesir untuk pulang ke Kuala Lumpur sebagai satu tekanan kerana kita melihat seluruh negara umat Islam di Syria, Jordan, Lubnan dan Turki sekarang sedang memberi tekanan kepada Mesir yang dilihat menjadi boneka kepada Amerika Syarikat dan Israel,” katanya.

Katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Luar Negeri, Datuk Norhaidi Che dan @ Che Din, sebagai wakil kepada Menteri Datuk Anifah Aman.

Nasrudin juga menggalakkan seluruh umat Islam yang prihatin supaya dapat bersama Dewan Pemuda Pas yang akan mengadakan perhimpunan aman di perkarangan kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, selepas solat Jumaat, esok.

Beliau berharap, rakyat Malaysia dapat menunjukkan keprihatinan dan solidariti bersama umat Islam yang tertindas.

“Dan saya juga mengambil kesempatan di sini menyeru seluruh warga negara yang prihatin terhadap isu hak kemanusiaan, isu keadilan ini supaya keluar beramai-ramai kerana esok kita akan mengadakan satu penyerahan memorandum membantah tindakan Mesir ini kepada kedutaan Mesir di Kuala Lumpur,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

No comments

Powered by Blogger.